My Add

Tuesday 20 November 2012

Umat Islam Kemboja hargai peranan Malaysia

PHNOM PENH,,Kemboja, ISNIN, 19 November, 2012: Masyarakat Islam Champa yang meliputi kira-kira 300,000 orang daripada 14 juta penduduk negara ini yang majoritinya penganut Buddha, melahirkan penghargaan terhadap sumbangan rakyat Malaysia selama ini dan berharap ia tidak terbatas dalam bidang keagamaan sahaja.

Penghargaan itu disampaikan oleh Penasihat Hal Ehwal Umat Islam kepada Perdana Menteri Hun Sen, Oknha Othsman Hasan, yang juga Menteri Buruh dan Latihan Vokasional Kemboja ketika membuat kunjungan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di hotel penginapannya di sini malam tadi.

Menurut Najib, ketua masyarakat Islam Champa itu meminta supaya kerajaan membantu dalam bidang akademik dengan memberi peluang kepada para pelajarnya melanjutkan pengajian di Malaysia.

"Saya akan meminta Universiti Teknologi Mara (UiTM) membantu apa yang perlu termasuk menyediakan tempat kepada pelajar Islam Champa yang layak memasuki universiti itu," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang-sidang berkaitan di sini hari ini.

Najib mengadakan sidang akhbar ringkas selepas memberi penghormatan kepada mendiang Raja Norodom Sihanouk di Royal Palace di sini.

Tambah Perdana Menteri, pihaknya juga sedang meneliti permohonan Othsman supaya Malaysia membantu membina masjid berhampiran Hotel Phnom Penh tempat penginapan beliau sepanjang menghadiri persidangan itu.

Umat Islam di Malaysia sehingga kini banyak menyalurkan bantuan dalam bentuk tunai dan barangan bagi membiayai pembinaan masjid dan sekolah agama di Kemboja.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Al-Bukhary dan Yayasan Salam pula dilaporkan menawarkan biasiswa kepada pelajar Islam Champa untuk menyambung pengajian di Malaysia.

Umat Islam Champa adalah kumpulan minoriti di Kemboja yang rata-ratanya miskin dan tinggal di pedalaman kerana pernah dianggap musuh ketika pemerintahan rejim Khmer Rouge yang menyaksikan kira-kira 150,000 orang berketurunan itu terbunuh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment