My Add

Sunday 4 November 2012

Usaha kerajaan bawa balik pakar perubatan luar negara capai hasil positif

KULIM, AHAD, 04 November, 2012:: Usaha kerajaan membawa balik pakar perubatan dari kalangan rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara menerusi TalentCorp menampakkan hasil positif, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, lebih 100 pakar ternama dalam bidang perubatan yang sedang berkhidmat di Australia, Taiwan, dan United Kingdom termasuk di Ireland sudah menyatakan hasrat dan minat untuk pulang dan berkhidmat di Malaysia.

"Selain memberi tempat sewajarnya, ganjaran lebih baik ditawarkan kepada mereka yang balik berkhidmat di tanah air," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan CT Scan, Jabatan Pengimejan Hospital Kulim di sini, hari ini.


Sebelum itu, beliau diberi taklimat mengenai Hospital Kulim oleh pengarahnya, Dr Asmayani Khalib. Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamarul Zaman Md Isa dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat.

Menurut Liow, lawatan oleh Talent Corp dan wakil kementerian ke Taiwan dan Australia bagi menerangkan tawaran kerajaan dan untuk meyakinkan mereka supaya kembali berkhidmat di negara sendiri mendapat respons cukup memberangsangkan.

"Kita dapati ramai ingin balik dan sanggup mengenepikan gaji lumyan yang diterima di luar negara. Oleh itu, urusan supaya mereka balik akan dipermudahkan.

"Pertambahan pakar bermakna tempoh menunggu untuk mendapat khidmat kepakaran dapat dipendekkan," katanya.
Liow berkata, daripada 135 buah hospital kerajaan, hanya 50 mempunyai pakar mencukupi dan bakinya sangat memerlukan perkhidmatan pakar perubatan.

Beliau mengumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melawat Langkawi 31 Oktober lalu meluluskan sebuah Ambulans Laut khusus untuk membawa pesakit dari pulau pelancongan itu ke tanah besar.

"Perdana Menteri mengarahkan saya berunding dengan syarikat feri bagi mengubahsuai sebuah feri untuk dijadikan Ambulans Laut kerana perkhidmatan ini sudah lama dipohon. Lagi cepat rundingan selesai, cepatlah ia dilaksanakan.

"Tindakan ini selaras dengan penjenamaan semula Langkawi oleh Najib semasa melakukan lawatan itu bagi menjadikan Langkawi pulau peranginan ternama dunia yang memerlukan perkhidmatan Ambulans Laut," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment