My Add

Sunday 18 November 2012

Usul tergempar isu Palestin dibentang di Parlimen esok

PHNOM PENH, AHAD, 18 November, 201: Kerajaan akan membentangkan usul tergempar di Dewan Rakyat esok bagi mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata, usul itu akan menggesa Dewan Rakyat untuk mengambil ketetapan, antaranya:

* Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestine di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.

* Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata.

* Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung PBB di bawah Resolusi 377A(V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.

* Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat; dan

* Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan/ Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

"Bagi menzahirkan sokongan dan keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia berhubung isu ini, saya telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk membentangkan satu usul tergempar di Dewan Rakyat pada Isnin, 19 Nov 2012,” kata Najib.

Najib berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-21 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari mulai hari ini hingga Selasa.

Israel melancarkan serangan terbaharu yang dinamakan operasi “Pillar of Defence” ke atas wilayah Palestin di Gaza yang setakat ini mengorbankan 40 orang termasuk seorang pemimpin Hamas Ahmed Jaberi, enam kanak-kanak, seorang wanita hamil dan seorang guru United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) dan lebih 345 orang cedera.

Tiga rakyat Israel terkorban dan 18 orang lagi cedera akibat serangan balas pihak Hamas.

Najib berkata, serangan tentera Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza jelas merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Mengenai Perlindungan Orang-Orang Awam Semasa Perang.

"Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Malaysia, kata Najib, juga berasa amat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan dengan serta-merta keganasan Israel yang dilakukan ke atas wilayah Palestin di Gaza. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment