My Add

Tuesday 6 November 2012

Warga ATM diminta bantu perjelas isu pengganas: Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 November, 2012:: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu bersama-sama membantu kerajaan menjelaskan kepada dunia mengenai isu ekstremisme dan pengganas yang sering dikaitkan dengan dunia Islam, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ia adalah isu kompleks yang membabitkan banyak pihak tanpa mengira agama dan bangsa.

"Sejarah membuktikan bahawa banyak cabaran dan cubaan yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada dari dalam dan luar negara mempunyai muslihat, matlamat dan agenda untuk menjadikan negara ini gagal mempertahan dan mengekalkan kejayaan dan kemakmurannya.

"Justeru, saya menyeru seluruh warga kementerian untuk menyokong perjuangan Perdana Menteri dalam menjelaskan kepada dunia bahawa pendekatan serta ajaran Islam bukanlah sepertimana yang digambarkan oleh media barat, sebaliknya Islam sentiasa mempraktikkan konsep wasatiyyah dalam setiap pendekatan yang dianjurkan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan MINDEF di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pembabitan masyarakat dalam kumpulan bersifat ekstremis bukan saja salah dari sisi undang-undang malah bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.

Sementara itu, beliau berkata, bagi membendung isu rasuah, Malaysia perlu melihat dari perspektif yang lebih luas mengenai bagaimana memupuk sikap menolak rasuah secara semulajadi dalam masyarakat.

Katanya, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kejayaan mengurangkan perbuatan rasuah bergantung kepada kesedaran sivik yang tinggi berbanding pencegahan berbentuk undang-undang atau insentif kewangan. 

"Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa isu yang sering dikaitkan dengan integriti dan masalah kebocoran maklumat terperingkat di pejabat-pejabat kerajaan.

"Sering kali apabila masyarakat bercakap mengenai rasuah, perkara pertama yang terlintas di fikiran mereka adalah berkaitan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang berkhidmat dalam kerajaan dan perkhidmatan awam," katanya.

Ahmad Zahid berkata, usaha memerangi rasuah telah dijadikan satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP) yang dilancarkan pada 2009.

Antara usaha terbaru yang dilakukan oleh kerajaan adalah kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) bagi tujuan mewujudkan satu rangka kerjasama program Sarjana antarabangsa yang pertama di dunia dalam pencegahan rasuah di mana sebahagian daripada program ini akan dijalankan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

IACA mengiktiraf usaha kerajaan melalui SPRM, sebagai sebuah badan pencegahan rasuah di Malaysia yang memainkan peranan penting dalam memerangi rasuah domestik dan antarabangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment