My Add

Monday 5 November 2012

Waspada pihak mengaku mahir Islam tetapi punya agenda politik

PAGOH, AHAD, 0 4 November, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan umat Islam supaya memelihara kesucian agama itu daripada golongan yang mengaku pakar dan mahir dalam soal agama tetapi mempunyai agenda lain terutama melibatkan kepentingan politik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kewujudan golongan berkenaan menyebabkan umat Islam di negara ini kadang-kadang keliru dengan apa yang disampaikan sehingga membawa kepada perpecahan.

"Perlunya ada kefahaman mendalam supaya amanah dan tanggungjawab menjaga kesucian Islam dapat dipelihara daripada kumpulan yang mempunyai kepentingan tertentu itu.

"Bila sebut soal agama ini ramai yang tampil mengaku pakar dan mahir tetapi apabila diteliti apa yang lebih utama ialah politik," katanya ketika berucap dalam Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Dewan Serbaguna Kundang Ulu, dekat sini malam ini.

Forum bertajuk Kasihkan Agama, Kasihkan Ummah, Kasihkan Negara Adalah Tuntutan Fardhu Ain itu disertai tiga ahli panel terdiri daripada Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut; bekas Imam Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria dan Penceramah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Sheikh Ismail Hashim.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan sentiasa memandang berat perkara tersebut dan pakar-pakar agama sentiasa perlu tampil memberi fahaman yang betul.

Beliau berkata, pelbagai usaha turut dilakukan untuk menambah kesedaran bagi memperkukuhkan jemaah dan perpaduan umat Islam.

"Saya harap program seperti ini dapat mengelakkan dakwah songsang dan umat Islam jangan mudah terpedaya, nampak sahaja warak tetapi ada muslihat lain," katanya.

Muhyiddin menambah, ketika ini peranan kerajaan amat jelas dalam memelihara kesucian Islam supaya masyarakat tidak goyah dan terjebak dengan fahaman salah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment