My Add

Tuesday 27 November 2012

Wujudkan keamanan dunia
 
 *NAJIB Tun Razak semasa menyampaikan ucaptama pada perasmian Forum Antarabangsa UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta masyarakat dunia memulakan usaha mewujudkan keamanan dengan mengelakkan sebarang konflik, keganasan dan peperangan kerana kesemua perkara itu mendatangkan kesan yang amat buruk terhadap kehidupan manusia.

Perdana Menteri berkata, akibat daripada semua perkara itu juga khususnya peperangan akan menyebabkan pelbagai implikasi negatif antaranya pembunuhan, keruntuhan infrastruktur ekonomi, infrastruktur sosial, peningkatan jumlah balu, anak-anak yatim dan tidak kurang wujudnya masalah pelarian, suaka politik serta pendatang.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan tentang kepentingan peranan pihak ketiga sebagai jambatan harmoni antara dua pihak yang berbalah seperti yang dilakukan oleh Malaysia dalam pemeteraian rangka perjanjian perdamaian antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada 15 Oktober lalu.

"Menyebarluaskan budaya keamanan dalam masyarakat ketika ini merupakan sesuatu yang amat penting, lebih-lebih lagi sekiranya masyarakat sendiri mahu keluar daripada bayang-bayang konflik. Minda mereka ini harus dipupuk dengan budaya keamanan dengan sejelas-jelasnya.

"Budaya keamanan itu melibatkan pelbagai nilai dan kewujudannya bersandarkan pada hak kebebasan, demokrasi, toleransi, perpaduan, menghormati kepelbagaian, dialog dan persefahaman. Sasaran kita ialah individu. Hakikatnya, keamanan sebenar tidak akan muncul melainkan minda kita dipenuhi dengan keamanan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat - Memandang ke Hadapan atau ke Belakang' ketika merasmikan Forum Antarabangsa UMNO kali ketiga sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi forum tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, beliau percaya pendekatan sederhana yang selama ini mendasari pemerintahan negara telah membuatkan Malaysia diberi kepercayaan oleh pihak kerajaan Filipina dan MILF sebagai perantara antara kedua-dua pihak.

"Pencapaian itu membuktikan meja rundingan mampu menamatkan segala konflik yang berlaku meskipun telah berlanjutan dalam tempoh yang lama.

"Apa yang lebih penting, kejayaan pemeteraian perjanjian itu telah berjaya mewujudkan keamanan dan perdamaian di wilayah bergolak tersebut selepas berlakunya konflik kira-kira 40 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil pendekatan sama boleh digunakan di wilayah-wilayah lain yang bergolak termasuk konflik di Gaza, Palestin ketika ini.

Dalam ucaptamanya, Perdana Menteri turut menggariskan beberapa perkara yang perlu dipastikan oleh pihak ketiga sebelum menjalankan peranan mendamaikan dua pihak berbalah.

"Paling utama, kedua-dua pihak bersedia untuk berdamai dan pihak yang menjadi orang ketiga atau perantara mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada dua pihak yang berbalah itu seperti yang berlaku antara kerajaan Filipina dan MILF," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, komitmen Malaysia untuk mewujudkan keamanan dan perdamaian di seluruh dunia tidak perlu dipertikaikan.

Ujarnya, walaupun Malaysia hanyalah sebuah negara kecil, mesej keamanan akan tetap terus disampaikan ke seluruh dunia.

"Peperangan dan konflik tidak membawa apa-apa faedah sebaliknya hanya akan mendatangkan musibah kepada manusia. Peperangan adalah tragedi dan merupakan mimpi ngeri kepada mangsa sepanjang hidup mereka," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment