My Add

Thursday 15 November 2012

Zulfahmi harap pencapaian lebih baik 2013

*ZULFAHMI Khairuddin disambut bapa dan ibunya, Khairuddin Weji dan Zarinah Parijan ketika pelumba Moto3 itu tiba di KLIA, Sepang dari Valencia semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

Oleh ZAZALI JAMIAN
SEPANG; Anugerah Pelumba Paling Meningkat 2012 dalam Kelas Moto3 memberikan suntikan semangat buat Zulfahmi Khairuddin untuk mencatat keputusan lebih baik bersama pasukan barunya, Red Bull KTM Ajo pada saingan musim depan.

Dua kali naik podium musim ini iaitu naib juara GP Malaysia dan tempat ketiga pada GP Valencia minggu lalu, turut melonjakkan keazaman beliau meningkatkan persembahan pada musim 2013.

Kata Zulfahmi, beraksi bersama pasukan seperti Red Bull KTM Ajo musim depan bakal memberi kelebihan kepadanya memperoleh jentera yang baik untuk menghadapi cabaran daripada pelumba lain.

“Bagi saya tidak banyak beza antara pasukan lama dan baru nanti kerana sebelum ini saya juga bekerja bersama orang yang sama.

“Pasukan yang bakal saya sertai tahun depan boleh dianggap sebagai yang terbaik dan saya percaya pasukan yang mempunyai status pengeluar seperti Red Bull KTM Ajo amat penting bagi memperoleh keputusan baik," katanya.

Zulfahmi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam selepas menamatkan saingan musim 2012.

Dia menutup tirai Moto3 musim 2012 di Grand Prix (GP) Valencia, Sepanyol Ahad lalu yang menyaksikan pelumba itu meraih kedudukan ketiga dengan catatan 45 minit 06.005 saat, di belakang dua pelumba Red Bull KTM Ajo, Danny Kent dan Sandro Cortese.

Sebelum ini Zulfahmi meraih podium pertamanya di laman sendiri apabila memperoleh tempat kedua pada perlumbaan Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang 21 Oktober lalu.

Lebih manis pelumba kelahiran Banting, Selangor itu juga berupaya menamatkan perlumbaan musim 2012 apabila berada pada tempat ketujuh keseluruhan dengan 128 mata.

Zulfahmi menambah, latihan bersama pasukan baru akan bermula Januari depan bagi menguji jentera musim 2013.

“Ketika ini pasukan Red Bull KTM Ajo sedang mempersiapkan jentera untuk musim baru dan saya percaya ia hampir siap.

“Buat masa ini saya hanya berehat selain akan menjalani latihan untuk persediaan bagi menghadapi perlumbaan tahun depan yang amat mencabar," kata Zulfahmi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment