My Add

Thursday 6 December 2012

122 aduan pelanggaran Kod diterima CMCF

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 06  Disember, 2012: Sebanyak 122 aduan berkenaan pelanggaran garis panduan yang terdapat di dalam Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Kod) telah diterima Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata daripada jumlah itu sebanyak 89 aduan telah diselesaikan dan baki 33 lagi masih dalam siasatan.

Bagaimanapun katanya menurut rekod CMCF kesemua aduan yang diselesaikan tidak melibatkan kes berat yang boleh membawa kepada hukuman di mahkamah.

"Daripada semua 89 kes yang telah selesai tiada tindakan seperti hukuman kompaun mahupun tindakan punitif diambil, hanya dibicarakan di peringkat CMCF sahaja," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Roslin Abdul Rahman berkenaan jumlah aduan yang diterima CMCF sepanjang tahun ini pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga dengan jelas menggariskan semua pengamal Kod memastikan setiap bahan yang disebar tidak mengandungi perkara kurang menyenangkan dalam konteks nilai sosial di negara ini.

Pihak industri dilarang menyiarkan sebarang kandungan yang boleh menyinggung perasaan orang awam, menyebabkan berlakunya sebarang perbuatan jenayah dan kacau-bilau serta berbentuk penghinaan dan ancaman, katanya.

"Bagi memastikan peruntukan ini difahami dan dipatuhi pengamal perkhidmatan, tatacara dan penjelasan mengenainya telah digariskan secara terperinci di dalam Kod dan tindakan penguatkuasaan akan diambil CMCF sekiranya berlaku pelanggaran Kod yang ditetapkan," katanya.

Pada masa sama Joseph mengingatkan terdapat beberapa perkara yang tidak berada di bawah tanggungjawab CMCF untuk diambil tindakan penguatkuasaan iaitu berkenaan politik, keselamatan negara dan hal-ehwal agama Islam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment