My Add

Saturday 8 December 2012

13 gelandangan positif dadah ditahan dalam operasi

KUALA LUMPUR, SABTU, 08 Disember, 2012: 13 daripada 75 gelandangan didapati positof dadah ketika ditahan dalam operasi gelandangan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa agensi penguatkuasa di sekitar ibu negara, awal hari ini.

Ketua Operasi Penguasa, Mohd Hisham Izhar berkata, dalam operasi yang berakhir 3 pagi itu, 57 orang warga tempatan dan 18 warga asing berusia lingkungan 20 hingga 50-an, ditahan.

Katanya, kesemua gelandangan yang didapati positif dadah adalah warga tempatan dan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

"Seorang gelandangan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat diserahkan Jabatan Imigresen Malaysia untuk tujuan dokumentasi, 13 orang diserahkan kepada AADK manakala 57 lagi dibebaskan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hisham berkata, operasi itu dijalankan bertujuan untuk membersihkan bandaraya Kuala Lumpur dari kutu rayau, penagih dadah dan pengemis yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, operasi disertai 78 anggota dari pelbagai agensi iaitu DBKL, AADK, Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, JKM, Alam Flora dan Pengurusan Sisa Pepejal.

Sementara itu, seorang gelandangan, Ahmad Mahidir, 49, berasal dari Kuala Lipis, Pahang berkata, kesusahan hidup membuatkan beliau terpaksa hidup merempat di tepi jalan.

"Bukan kemahuan saya untuk hidup begini, sudah banyak kali saya cuba untuk mencari kerja tetapi semua tidak mahu ambil saya bekerja," katanya yang kehilangan kedua ibu bapanya sejak beliau berusia 4 tahun.

Sementara itu, seorang gelandangan, yang hanya dikenali sebagai Rosnah, 51, ketika ditemui enggan mengakui dirinya adalah seorang gelandangan sebaliknya berkata, hanya duduk di jalanan sementara menunggu kedatangan anak angkatnya.

"Saya datang sini menaiki bas dan sedang menunggu anak angkat saya yang menetap di Jalan Tiong Nam, Chow Kit.

"Saya cuma duduk sini sekejap saja" katanya yang ditahan ketika sedang tidur di atas timbunan kotak di kaki lima di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment