My Add

Sunday 9 December 2012

2 penduduk Jerantut hilang ketika cari bijih besi dijumpai semula

JERANTUT, AHAD, 09 Disember, 2012:: Dua penduduk tempatan yang hilang Selasa lalu semasa mencari kawasan bijih besi di hutan Sungai Kerak dekat Kampung Besul, dekat sini dijumpai dalam keadaan selamat, semalam.

Mereka ialah Mohamad Amin Sidek, 35, dari Kampung Batu Embun dan Mohd Radzi Mat Ali, 15, dari Perumahan 410 Bandar Jerantut, berjaya keluar ke Kuala Tembeling pada jam 4.30 petang semalam dalam keadaan sihat selepas sesat empat hari di hutan berkenaan.

"Difahamkan semasa sesat di hutan mereka berdua hanya minum air akar kayu dan memakan pucuk kayu hutan untuk memulihkan tenaga," kata Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azid Ismail ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mereka adalah daripada sekumpulan enam penduduk kampung itu yang keluar mencari kawasan bijih besi di hutan itu Selasa lalu.

"Bagaimanapun, dua daripadanya tersesat dalam kawasan itu selepas mereka berpecah kepada dua kumpulan," katanya.

Katanya, sejak kedua-duanya dilaporkan hilang, seramai 48 anggota mencari dan menyelamat terdiri daripada 22 anggota polis, 13 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malayasia (JPAM), 13 anggota Bomba dan Penyelamat dengan bantuan penduduk kampung menjalankan gerakan mencari mereka.

Azid dalam pada itu mengingatkan orang ramai yang hendak masuk ke kawasan hutan di daerah Jerantut supaya melaporkan kepada polis terlebih dahulu bagi membolehkan tindakan segera diambil jika berlaku kejadian tidak diingini.

Beliau turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa saja yang memasuki kawasan hutan simpan atau kawasan larangan tanpa kebenaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment