My Add

Sunday 9 December 2012

62 rumah rosak akibat ribut

 *ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam memotong pokok besar yang tumbang dalam
 kejadian ribut di Jelapang, Ipoh semalam.

IPOH, SABTU, 08 Disember, 2012: Sebanyak 62 buah rumah melibatkan enam kawasan perumahan sekitar Jelapang di sini rosak selepas sebahagian bumbung diterbangkan ribut dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam.

Walaupun tidak ada mangsa mengalami kecederaan, kejadian itu cukup mencemaskan para penduduk.

Antara kawasan perumahan yang terlibat ialah Taman Meru, Taman Meru 2B, Taman Meru 2C, Taman Meru 3C, Taman Jati dan Kampung Datuk Ahmad Said.

Lebih 20 batang pokok besar termasuk 14 di sepanjang laluan utama Jelapang-Meru di sini tumbang namun ia tidak menimpa kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Menurut seorang penduduk, Jasbeir Kaur, 57, kejadian tersebut bermula dengan tiupan angin kuat disusuli dengan hujan lebat.

Katanya, dia yang ketika itu berseorangan di rumah hanya mampu melihat atap-atap rumahnya terbang ditiup angin kencang sebelum bertindak menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari rumah.

“Pada mulanya saya mendengar bunyi yang cukup kuat datang dari atas bumbung dan dalam sekelip mata melihat angin kencang menerbangkan keseluruhan atap rumah saya.

“Saya sangat takut melihat keadaan itu kerana rumah seakan-akan digoncang kuat menyebabkan saya berlari keluar rumah dalam hujan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Chong Kien Foo, 41, memberitahu, hujan lebat selama sejam setengah itu telah menumbangkan sebatang pokok besar bersebelah rumahnya hingga menyebabkan penjuru kediamannya ditimpa pokok berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang ditemui semasa melawat lokasi kejadian, pihaknya menyediakan 200 keping atap zink untuk diagihkan kepada mangsa yang terlibat. - Kosmo

No comments:

Post a Comment