My Add

Tuesday 11 December 2012

7,326 rumah kos rendah dibina

Oleh NORAZLINA ISMAIL

KEPALA BATAS, ISNIN, 10 Disember, 2012: Sebanyak 7,326 unit rumah kos rendah dan mampu milik akan dibina Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) untuk rakyat berpendapatan rendah di Pulau Pinang.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 2,880 unit rumah telah mendapat kelulusan pembinaan, manakala 4,446 unit lagi sedang dalam penyediaan pelan untuk mendapatkan kelulusan kebenaran merancang.

Pengerusinya, Datuk Azhar Ibrahim berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 10,000 unit rumah mampu milik yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Program Jelajah Janji Ditepati ke negeri itu baru-baru ini.

"Perda bakal membina 7,326 unit rumah kos rendah dan mampu milik dan selebihnya akan dibina oleh agensi-agensi kerajaan termasuk JKP Sdn. Bhd., dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).

"Sekarang kita hanya menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri dan berharap mereka tidak melengahkan pemberian kelulusan untuk projek perumahan ini untuk manfaat rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Bantuan Pakaian Sekolah di Penaga, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 170 pelajar dari kawasan Penaga menerima bantuan pakaian dan kelengkapan persekolahan daripada Perda.

Dalam pada itu, Azhar berkata, sekiranya kerajaan negeri melewatkan kelulusan projek perumahan itu, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada perkembangan pemilikan rumah bagi golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang.

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang berkelayakan membeli rumah tersebut supaya mendaftar dengan Perda secepat mungkin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment