My Add

Monday 17 December 2012

Aktiviti korek pasir boleh jejaskan nelayan

SUNGAI PETANI, ISNIN, 17 Disember, 2012: Aktiviti mengorek pasir berhampiran kawasan perikanan boleh menjejaskan hasil tangkapan nelayan, kata Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Mohamad Noor Had.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Jabatan Alam Sekitar meneliti semula syarat meluluskan aktiviti mengorek pasir kepada sesebuah syarikat.

Kesan daripada aktiviti mengorek pasir itu bukan sahaja menyebabkan pencemaran di kawasan sekitar, tetapi juga merosakkan pukat nelayan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan di Kota Kuala Muda, di sini.

Beliau merujuk kepada aktiviti mengorek pasir di perairan Kuala Muda berhampiran Tanjung Dawai di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata LKIM Kedah difahamkan syarikat itu beroperasi secara sah.

Menurutnya satu pertemuan sedang diatur oleh pihak berkenaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Pada 7 Disember lalu, lebih 50 nelayan bot pukat tunda di Tanjung Dawai mengadakan demontrasi aman membantah aktiviti mengorek pasir di perairan Kuala Muda, iaitu lima hingga 10 batu nautika dari Pulau Sayak dan Pulau Bidan, yang menjejaskan aktiviti penangkapan ikan di kawasan itu.

Kesan aktiviti berkenaan dilapor dirasai nelayan sejak Julai lepas apabila semakin ramai nelayan mengadu pukat rosak dan hasil tangkapan merosot. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment