My Add

Thursday 20 December 2012

Amal budaya 'jaga tepi kain' elak wanita, kanak-kanak dizalimi

KUALA LUMPUR, RABU, 19 Disember, 2012: Budaya 'menjaga tepi kain orang' diperlukan dalam masyarakat pada hari ini bagi memastikan kezaliman serta keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak dapat ditangani secara bersepadu.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini kerana keprihatinan anggota masyarakat terhadap nasib yang menimpa golongan itu sedikit sebanyak mampu memastikan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.

"Usah biarkan masa depan wanita dan anak bangsa menjadi gelap kerana kita tidak prihatin terhadap nasib yang menimpa mereka.

"Selaku anggota masyarakat, kita bertanggungjawab memelihara keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak, malah saya menyeru rakyat untuk menanam nilai-nilai murni seperti sikap pemurah, penyabar, toleransi dan prihatin tanpa mengira jantina," katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2012 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Putrajaya dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur; Penasihat kementerian, Datuk Heng Seai Kee; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe serta Naib Canselor Uniten, Datuk Seri Prof. Mashkuri Yaacob.

Menurut Rosmah, keganasan terhadap wanita harus dibendung kerana bukan sahaja memberikan impak negatif kepada institusi kekeluargaan tetapi turut merencatkan agenda pembangunan negara.

"Kewujudan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negara menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk memastikan golongan hawa terus mendapat pembelaan sewajarnya.

"Dalam hal ini, saya juga memuji inisiatif Talian Nur 15999 yang telah banyak membantu kerajaan dalam menangani kes keganasan terhadap wanita terutama berkaitan rumah tangga," katanya.

Malah, Rosmah turut mengingatkan kaum lelaki untuk sentiasa memahami tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka sebagai pemimpin dan pengawal wanita serta menjadi 'juara perubahan' dalam menangani sebarang bentuk keganasan terhadap golongan itu.

Sementara itu, Noriah berkata, sambutan yang bertemakan 'Sambut Tanganku' itu diharap menjadi satu jenama yang dapat mencetuskan semangat untuk berganding tenaga dan bersama-sama membanteras keganasan terhadap wanita.

Dalam perkembangan lain, menurut Noriah, sebanyak 2,252 wanita telah diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang sepanjang tempoh 2008 hingga 13 Disember lalu di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment