My Add

Thursday 20 December 2012

Amaran angin kencang, laut bergelora di perairan Pantai Timur

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur dinaikkan taraf ke kategori kedua hari ini dengan ombak dijangka mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini, hari ini, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan sehingga 3 Januari depan.

Sementara itu, angin kencang dengan kelajuan 40-50 kmsj berserta ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang, Johor Timur, Tioman, pedalaman Sabah, serta Pantai Barat, Kudat,dan Sandakan di negeri itu, Labuan, Sarawak, Bunguran, Reef South dan Sulu secara berterusan dalam tempoh masa yang sama.

Menurut jabatan itu, kawasan pantai Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dijangka terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut secara berterusan sehingga Rabu depan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada aktiviti perkapalan, perkhidmatan feri bot kecil, rekreasi laut, sukan laut dan termasuk penangkapan ikan, menurutnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment