My Add

Sunday 16 December 2012

Anggota, bekas tentera disaran terus sokong kerajaan

MELAKA, AHAD, 16 Disember, 2012:: Anggota dan bekas tentera di negara ini disaran terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya mereka mahu menikmati pelbagai keistimewaan pada masa depan.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Melaka, Datuk Mohd
Fazil Shafie, berkata ia kerana kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dalam membela nasib anggota tentera termasuk golongan veteran.

Sebagai contoh, katanya, pengumuman Perdana Menteri berhubung pemberian tujuh inisiatif di bawah Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) semalam jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap anggota tentera di negara ini.

"Kalau sokong kerajaan kita boleh hidup aman damai seperti sekarang tetapi
kalau kita cuba memporak-perandakan kerajaan sedia ada belum tahu lagi apa yang
jadi pada masa hadapan," katanya selepas menghadiri Karnival Bekas Tentera Malaysia Daerah Melaka Tengah yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini, hari ini.

Mohd Fazil berkata, anggota tentera di negara ini perlu bersyukur dan membantu kerajaan memperbaiki segala kekurangan yang ada dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara dapat terus dipelihara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PBTM akan mengesan baki penerima
Sumbangan ATM Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTV1M) di Melaka yang belum
mengemukakan borang pendaftaran mendapatkan sumbangan tersebut.

Beliau berkata, ia bagi memastikan insentif berjumlah RM1,000 itu dapat
disalur dan dinikmati golongan veteran atau keluarga mereka.

Sehingga kini, katanya, Jabatan Hal Ehwal Vateran (JHEV) ATM negeri Melaka
hanya menerima borang pendaftaran seramai 3,400 orang berbanding jumlah
keseluruhan anggota tentera tidak berpencen di negeri itu iaitu seramai 6,000
orang.

"Kita juga akan berbincang dengan JHEV untuk melanjutkan tempoh permohonan
yang akan berakhir pada 31 Disember ini kerana kita khuatir baki anggota yang masih tidak mendaftar disebabkan mereka tidak tahu berhubung pemberian tersebut," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment