My Add

Saturday 8 December 2012

Apa kriteria Hadi pilih jemaah menteri pakatan pembangkang?

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 07 Disember, 2012: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menjelaskan kepada umum kriteria yang bakal digunakan beliau dalam melantik anggota jemaah menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, sebagai calon utama Perdana Menteri pakatan pembangkang kriteria itu menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong pembangkang.

"Adakah Abdul Hadi akan melantik seorang menteri terdiri daripada individu yang mempunyai jawatan dalam parti atas sebab lantikan oleh isterinya?

"Adakah beliau akan membenarkan ketiga-tiga pemimpin daripada sebuah keluarga iaitu bapa, ibu dan anak menjadi anggota jemaah menteri?" katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Pas menamakan Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang meskipun cadangan itu mendapat tentangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut mempunyai calon masing-masing.

Dalam masa sama, Zamil mempersoalkan kuota yang diberikan Abdul Hadi bagi membolehkan sesebuah keluarga menyertai Kabinet.

"Beliau perlu menerangkan kepada rakyat mengenai jumlah atau had yang akan dikenakan ke atas sesebuah keluarga untuk menganggotai Kabinet pakatan pembangkang," katanya.

Beliau menambah, Abdul Hadi juga perlu menjelaskan kepada umum berhubung kebimbangan Pengerusi DAP, Karpal Singh sekiranya beliau dipilih sebagai Perdana Menteri pakatan pembangkang.

"Adakah perkara ini disebabkan Karpal tidak mempunyai sebarang rahsia hitam mengenai Abdul Hadi, maka beliau merasakan tidak boleh menguasai Abdul Hadi?,'' katanya.

Dalam masa sama, beliau turut bimbang sekiranya Abdul Hadi meletakkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan.

"Abdul Hadi perlu mengimbas semula tentang kerakusan Anwar dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali sekitar 90-an dahulu," katanya.

Beliau menambah, persoalan-persoalan itu perlu dijawab segera kerana semua rakyat mahu tahu mengenai perancangan parti pembangkang.

"Hal ini demikian kerana sistem yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sudah diketahui termasuk siapa bakal menjadi Perdana Menteri, berapa jawatan menteri untuk UMNO, MCA, MIC serta parti komponen lain.

"Rakyat bagaimanapun, sehingga hari ini belum mengetahui sistem yang mahu dilaksanakan parti pembangkang. Berapa jawatan menteri yang diperuntukkan untuk Pas, PKR dan DAP. Adakah pertubuhan haram Hindraf turut mengambil bahagian," ujarnya.

Sehubungan itu, menurutnya, tidak salah sebagai rakyat untuk bertanyakan tentang perkara ini kerana bimbang sesuatu yang tidak baik akan berlaku kelak.

"Saya sebagai individu berkecuali merasakan BN mempunyai sistem itu dan semangat setia kawan yang kuat sejak lebih 50 tahun dahulu lagi," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment