My Add

Tuesday 11 December 2012

APMM tahan 8 lelaki Indonesia rompak kapal tangki di Pengerang

JOHOR BAHRU, SELASA, 11 Disember, 2012: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan berjaya menahan lapan lelaki rakyat Indonesia yang sedang merompak sebuah kapal tangki di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi di sini, awal hari ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian ke atas kapal MT Merlion 2 yang sedang berlabuh di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Stapa itu, pada jam 2.30 pagi.

"Kesemua lelaki terbabit yang dipercayai dari Batam, Indonesia menggunakan sebuah bot kayu untuk menghampiri MT Merlion 2 yang sarat membawa muatan minyak," katanya di sini, hari ini.

Adon berkata, APMM Wilayah Selatan terus menugaskan bot Petir 11 bersama pasukan penyelamat dan tugas khas untuk mengepung kapal terbabit selepas menerima maklumat kejadian daripada ejen kapal tersebut.

Beliau berkata, sebuah kapal dan empat bot laju kemudian turut dihantar ke tempat kejadian bagi membantu kerja menyelamat.

Katanya, lapan perompak yang bersembunyi di anjungan dan kabin kapal kemudian berjaya ditahan kira-kira jam 4.15 pagi.

Menurutnya pihaknya percaya terdapat dua lagi rakan perompak terbabit yang berjaya melarikan diri bersama bot kayu yang bergelap itu ketika anggota APMM sedang menghampiri kapal tersebut. 

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemui sebilah parang yang digunakan mereka untuk merompak. Dua pistol dan beberapa senjata lain dipercayai dicampak ke dalam laut bagi menghilangkan bukti," katanya.

Menurut Adon, terdapat 11 kru rakyat Myanmar dan seorang kru rakyat Singapura di dalam MT Merlion 2 yang didaftarkan di Saint Kitts and Nevis.

Tiga daripada kru berkenaan, katanya mengalami kecederaan di kepala, tangan dan sesak nafas akibat dipukul oleh perompak tersebut dan kesemua mereka dirawat di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Pengelih, Pengerang.

Katanya, kesemua perompak berumur 23 hingga 46 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan di sini untuk siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment