My Add

Thursday 6 December 2012

ASEAN perlu lebih proaktif - Raja Nazrin

 *RAJA Dr. Nazrin Shah ketika bertitah dalam ucaptama Forum Kepimpinan
100 ASEAN 2012 di Yangon, Myanmar, semalam. - AGENSI

KUALA LUMPUR, RABU, 05 Disember, 2012: ASEAN kini perlu bertindak lebih proaktif bagi menyekat persaingan semakin sengit dan persekitaran keselamatan serantau yang semakin meruncing.

Menegaskan demikian, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, ASEAN tidak boleh bertindak bersendirian kerana ia memerlukan sokongan pemegang kepentingan lain bagi meredakan situasi.

"Namun ASEAN mempunyai beberapa kualiti dan aset unik...Ia sebuah kuasa sederhana untuk perdamaian. ASEAN tidak bersifat mengancam.

"Ia mempunyai pelbagai platform bilateral dan serantau termasuk Forum Serantau ASEAN yang boleh digunakan. Ia boleh melibatkan diri dalam diplomasi senyap dan ia boleh melengkapkan ini dengan forum sokongan bukan kerajaan untuk dialog informal dan ikhlas bagi menjelaskan isu, mengurangkan prasangka dan membina keyakinan," titah baginda dalam ucaptama dalam Forum Kepimpinan 100 ASEAN 2012 di Yangon, Myanmar hari ini.

Raja Nazrin bertitah, persekitaran keselamatan serantau bagaimanapun semakin mencabar oleh kerana persaingan kuasa besar tercetus kembali selepas ia reda berikutan berakhirnya perang dingin.

"Penyebab segera ialah kebangkitan ekonomi China di tengah-tengah anjakan bersejarah kuasa geo-ekonomi dan geo-politik yang sedang berlaku," titah baginda.

Baginda bertitah, ASEAN cukup penting untuk perdamaian dan kemakmuran rakyat dan negara-negara Asia Tenggara oleh kerana Asia Tenggara tanpa ASEAN tidak akan menjadi tempat yang begitu selesa.

"Namun saya sama yakin bahawa kesejahteraan dan destini kita akan ditentukan terutama sekali oleh usaha kebangsaan dan bukan ASEAN. Ini kerana ASEAN bukan entiti supranasional seperti Kesatuan Eropah (EU) di mana sejumlah autoriti kedaulatan telah diserahkan kepadanya.

"ASEAN boleh menggubal matlamat dan program bersama bagi memandu pelaksanaan oleh negara-negara anggota, tetapi pembangunan di negara-negara anggota akan dipandu oleh usaha kebangsaan dan program nasional.

"Oleh itu, negara adalah juga blok bangunan asasi dan paling penting dalam Komuniti ASEAN," titah baginda.

Mengenai deklarasi Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015, Raja Nazrin bertitah mewujudkan sebuah komuniti dalam persekitaran seperti ASEAN yang tidak mempunyai kehomogenean sistem politik seperti EU, yang tidak mempunyai perlembagaan supranasional dan autoriti struktur EU dan yang bermula dari asas pembangunan dan kecanggihan ekonomi yang lebih rendah, akan mengambil masa lebih lama.

"Mengendali perubahan sosial, mentransformasi nilai dan sikap dan menginstitusi rombakan politik akan khususnya menjadi proses yang lembab," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, ASEAN telah memberi keutamaan terhadap memperkukuh tonggak ekonomi Komuniti ASEAN kerana ia dianggap sebagai genting kepada kebolehan negara-negara ASEAN untuk bersaing dalam dunia global dan terutama dengan China dan Asia yang kini bangkit di bidang ekonomi.

"Cabaran yang dihadapi ASEAN adalah berat. Separuh daripada negara-negara anggota ASEAN yang dihuni oleh dua pertiga penduduk ASEAN terletak ketiga paling bawah mengikut indeks pembangunan insan UNDP.

"Sembilan puluh juta penduduk di ASEAN hidup di bawah garis kemiskinan antarabangsa US$1.25 PPP sehari dan beban kemiskinan dan isu berkaitan kemiskinan terletak pada negara-negara dan masyarakat yang hanya mampu memikul sebahagian kecil saja daripada beban itu," titah Raja Nazrin. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment