My Add

Saturday 15 December 2012

AUG 2012: Malaysia ungguli kutipan pingat

VIENTIANE, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Kontinjen Malaysia mengungguli kedudukan punggutan pingat pada hari kedua temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG 2012) dengan sembilan pingat emas, empat perak dan 12 gangsa.

Sembilan pingat emas disumbangkan oleh skuad karate dan terjun pada temasya dwitahuan yang membuka tirainya semalam.

Semalam, karate menyumbang tiga pingat emas manakala terjun meraih satu pingat emas.

Pada hari ini, skuad karate dan terjun sekali lagi konsisten dengan menambah lima pingat emas, sekali gus memintas Vietnam di kedudukan kedua dengan lapan pingat emas, 10 pingat perak dan enam pingat gangsa.

Manakala tuan rumah, Laos menghuni tangga ketiga carta pungutan pingat dengan lapan pingat emas, enam pingat perak dan sembilan gangsa. -

Karate tambah tiga lagi pingat emas

VIENTIANE: Skuad karate negara menyemarakkan lagi semangat buat kontinjen negara apabila menggondol tiga emas, satu perak dan dua gangsa pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG 2012) di Gimnasium Chao Anouvong, di sini, hari ini.

Tiga butir emas itu diraih oleh Mohd Hatta Mahamut, K.Teagarajan dan M.Mathivani masing-masing dalam acara kumite lelaki bawah 84kg, kumite lelaki 75kg dan kumite wanita bawah 61kg.

Sebagai atlet berpengalaman, Mohd Hatta nyata tidak berdepan masalah apabila menewaskan Trinh Vo Hao dari Vietnam dengan catatan mata 5-2.

Pingat gangsa diraih oleh Teguh Ganeswara Umar dari Indonesia dan Watchara Charoenpachok dari Thailand.

Teagarajan pula mengalahkan Alin Sukma Pranata dari Indonesia dengan catatan mata 5-2.

Pingat gangsa dimenangi Songvut Muntaen dari Thailand dan Nguyen Van Su dari Vietnam.

Mathivani turut mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Arm Sukkiaw dari Thailand dengan catatan mata 8-0.

Pingat gangsa pula disandang oleh Selitha Palalangan dari Indonesia dan Le Thi Thuy dari Vietnam.

Sementara itu, Uriel Yu En French meraih pingat perak bagi kategori kumite lelaki 67kg manakala dua gangsa dimenangi V.Jayaseelan bagi kategori kumite lelaki atas 84kg dan M.Yokonanthini dalam kategori kumite wanita 55kg.

Skuad terjun tambah koleksi emas

VIENTIANE: Dua penerjun negara Bryan Nickson Lomas dan Leong Mun Yee menepati status selaku penerjun Olimpik apabila menyumbang dua butir emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG 2012) di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Nasional, di sini, hari ini.

Bryan meraih pingat emas dalam acara 1m papan anjal individu lelaki manakala Leong Mun Yee merangkul pingat emas kedua apabila menungguli acara 10m platform individu wanita.

Semalam, Mun Yee menyumbang emas pertama negara dalam acara terjun apabila menang acara 1m papan anjal individu.

Pada saingan hari ini, Bryan mencatatkan 353.00 mata untuk menghuni kedudukan teratas, sekali gus menewaskan pencabar terdekat Andriyan dari Indonesia di tangga kedua dengan 295.05 mata.

Manakala penerjun tuan rumah Laos, Chanthakaly Philavanh yang mencatat 182.95 mata membawa pulang pingat gangsa.

Sementara itu, Mun Yee membuat catatan 281.70 mata untuk menewaskan Della Dinarsari Harimurti dari Indonesia yang mengumpul dengan 223.95 mata.

Pingat gangsa disandang oleh penerjun Filipina, Rebecca Pahoyo, dengan mata 205.10. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment