My Add

Wednesday 19 December 2012

AUG 2012: Razif sumbang dua emas badminton

VIENTIANE, RABU, 19 Disember, 2012: Bekas pemain badminton kebangsaan, Mohd Razif Abdul Latif cemerlang apabila menyumbang dua pingat emas buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 di Gimnasium I, Kompleks Sukan Nasional di sini hari ini.

Kilauan emas itu diraih melalui acara beregu campuran dan beregu lelaki.

Mohd Razif meraih pingat emas pertama buat skuad badminton dalam acara beregu campuran bersama Chong Sook Chin dengan mengalahkan Ariyanto Haryadi Putra/Dian Fitriani, pemenang perak dari Indonesia 25-23, 21-7.

Sebutir lagi emas daripada Mohd Razif diraih dalam acara beregu lelaki melalui gandingan bersama Cheah Liek Hou, yang menewaskan beregu Thailand, Nopparut Hiripongsathorn/Sermsin Wongyaprom, 21-13, 21-9.

Selain dua emas, skuad badminton turut menyumbang dua perak dan tiga gangsa.

Perak diraih dalam acara berpasukan wanita dan berpasukan lelaki manakala acara perseorangan wanita mengutip gangsa.

Kedua-dua atlet negara dalam acara perseorangan wanita yang terkandas di peringkat separuh akhir secara automatik memenangi gangsa.

Sebutir lagi gangsa ialah dalam acara perseorangan lelaki. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment