My Add

Wednesday 19 December 2012

Bakal haji dikenakan syarat tambahan

KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Disember, 2012: Lembaga Tabung Haji (TH) telah memperkenalkan beberapa syarat tambahan bagi menangani isu lebih sejuta rakyat Malaysia masih menunggu giliran untuk mengerjakan haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (gambar) berkata, salah satu syarat yang ditetapkan adalah individu yang baharu sahaja mengerjakan haji tidak dibenarkan mendaftar dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, menurut beliau, kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah tidak akan dipilih kecuali dalam keadaan tertentu yang boleh dipertimbangkan.

"Keutamaan turut diberi kepada bakal haji yang berumur 75 tahun ke atas sekiranya ada kekosongan tempat.

"Individu yang ingin mengerjakan haji buat kali kedua dan seterusnya perlu membuat bayaran penuh. Selain itu, tiada jaminan mereka akan diberi keutamaan mengerjakan haji pada masa hadapan," katanya.

Beliau menjawab soalan Muhamad Yusof Husin tentang isu bakal haji dalam senarai menunggu pada sidang Dewan Negara hari ini.

Menurut Mashitah, kerajaan terus berusaha mendapatkan kuota tambahan termasuk mengemukakan permohonan melalui peringkat tertinggi negara kepada kerajaan Arab Saudi.

Menjawab soalan Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullah berhubung penguatkuasaan syarat-syarat dan peraturan penggunaan logo halal di premis makanan, Mashitah memberitahu, setakat ini, sebanyak 432 premis telah diberi amaran.

Jelasnya, amaran tersebut diberi atas kesalahan tidak mematuhi syarat-syarat pensijilan halal Malaysia dan daripada jumlah itu, lapan kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Bagaimanapun, jelas beliau, sebanyak 308 premis makanan lain yang diperiksa didapati mematuhi piawaian halal dan undang-undang berkaitan.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemantauan secara berkala dan berdasarkan aduan awam bagi memastikan kredibiliti dan integriti pensijilan halal," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment