My Add

Monday 10 December 2012

Banjir akibat gagal kawal pembalakan - Dr. Mahathir

 *DR. MAHATHIR Mohamad bertanya khabar dengan rakan lama beliau, Ahmad
 Mat (duduk), 87, dari Kampung Bukit Berangan, Belantik semasa melawat
 Kampung Pelangi, Gulau, Sik, Kedah, semalam. - BERNAMA

SIK, AHAD, 09 Disember, 2012: Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini membidas kerajaan Kedah yang diterajui Pas kerana gagal mengawal aktiviti pembalakan di negeri itu sehingga kerap berlaku banjir luar biasa yang merosakkan rumah dan kemudahan rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keadaan tersebut antara bukti pembangkang tidak mampu mentadbir negeri dengan baik dan penduduk Kedah perlu mengembalikan kuasa memerintah negeri kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Banjir bukan sahaja merosakkan rumah rakyat, tetapi sisa kayu balak yang dihanyutkan banjir juga memusnahkan kemudahan untuk rakyat seperti jambatan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dr. Mahathir ditemui pemberita ketika melawat kawasan yang terjejas akibat aktiviti pembalakan di Kampung Pelangi, Gulau dekat sini.

Banjir yang melanda kawasan itu turut merobohkan sebuah jambatan konkrit yang baru siap dibina untuk kemudahan penduduk.

Turut serta dalam lawatan itu ialah isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Hanipah dan Anggota Dewan Undangan Negeri Belantik, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment