My Add

Monday 10 December 2012

Bekalan air mentah Selangor akan susut jika tiada sumber baharu

KUALA LUMPUR, ISNIN, 10 Disember, 2012: Selangor mungkin sudah hampir kekurangan bekalan air mentah jika sumber baharu masih tidak diteroka, tatkala mahu membekalkan air bersih mencukupi kepada kediaman, pejabat, restoran dan kilang di negeri itu, kata seorang penggubal undang-undang persekutuan.

Ahli Parlimen kawasan Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, kerajaan Selangor perlu memastikan bekalan air mentah sedia ada seiring dengan jumlah penduduk dan pertumbuhan industri, kerana sebahagian bekalan air mentah yang ada sekarang tidak boleh dirawat dan diguna penduduk.

"Kenapa kita perlu kelirukan rakyat dengan menggambarkan kita ada bekalan mencukupi? Kita memang tahu tidak semua bekalan air mentah yang ada boleh dirawat kerana mungkin ada kandungan logam dan ini mungkin menyebabkan anda berbelanja besar untuk mendapatkan rawatan (perubatan)," katanya dalam satu temu bual.

Ong yang membidas kerajaan Selangor kerana tidak membentangkan 'angka meyakinkan' pada persidangan dewan undangan negeri sekali gus mengakhiri perbalahan mengenai air, berkata Selangor menghadapi dua isu air iaitu kekurangan bekalan air mentah dan kapasiti loji rawatan air.

"Ahli dewan undangan negeri pakatan pembangkang kata kita ada bekalan air mentah yang mencukupi kerana sekarang musim hujan dan semua empangan penuh.

Hanya dengan mengatakan takungan penuh air tidak bermakna anda ada bekalan air mentah mencukupi. Kami mahu kerajaan negeri mengeluarkan statistik yang tidak bias agar tidak mengelirukan rakyat," kata ahli politik berpengalaman itu.

Katanya, peranan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) adalah sekadar mengagihkan bekalan air terawat ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap bekalan air mentah yang disalur kepada loji rawatan. 

Ong yang juga bekas Menteri Pengangkutan turut mempersoalkan keupayaan kerajaan negeri untuk memberi jaminan bekalan yang berterusan jika ia berjaya memiliki Syabas, tanpa membangunkan loji rawatan baharu dan tidak meneroka sumber bekalan air mentah baharu.

"Hanya dengan merombak atau mengawal hak pengurusan dan aset air syarikat konsesi, anda fikir kerajaan negeri boleh selesaikan krisis air dalam jangka panjang? Saya meraguinya," katanya.

Ong berkata, projek loji rawatan air Langat 2 adalah antara program yang dirancang sebelum pilihan raya umum 2008 bagi menampung keperluan susulan pertambahan kilang dan kawasan industri, justeru pihak berkuasa negeri wajar melihat perkara itu secara objektif dan mencegah berulang krisis air pada 1997-1998.

"Saya rasa kerajaan negeri 'jual mahal' dengan kerajaan pusat, terutama apabila meletakkan syarat untuk memiliki hak pengurusan semua aset air termasuk Langat 2 (selepas siap), sebelum boleh bersetuju kepada pembinaan projek (Langat 2)," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment