My Add

Friday 21 December 2012

BN Selangor kesal sikap dolak-dalik Khalid isu cukai taksiran

SHAH ALAM, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini membidas sikap berdolak-dalik Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu semakan cukai taksiran ke atas pemilik tanah di Kampung Baru Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata Abdul Khalid tidak sepatutnya mengaitkan kerajaan pusat berhubung penetapan kadar cukai taksiran di negeri itu kerana ia sebenarnya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, Menteri Besar dan Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal PBT mempunyai kuasa untuk menentu dan memutuskan kadar cukai pintu yang dikenakan kepada rakyat negeri ini sama ada ia dinaikkan atau sebaliknya.

"Dalam soal pelantikan ahli majlis PBT sebagai contoh, kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam membuat asas pertimbangan pelantikan jawatan itu. Malah, fungsi PBT itu sendiri sebenarnya di kawal selia oleh kerajaan negeri," katanya kepada pemberita ketika meninjau persiapan Karnival Sayangi Selangor di i-City di sini, hari ini.

Mohd Zin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Khalid pada Selasa lalu bahawa pihak berkuasa tempatan tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan kadar cukai taksiran yang dikenakan terhadap penduduk setempat.

Menteri Besar berkata, kadar cukai taksiran di negeri itu ditetap berdasarkan kadar semasa hartanah mengikut penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan.

Semalam, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata semakan cukai taksiran ke atas pemilik tanah di Kampung Baru Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh dibuat berikutan pembinaan bangunan baharu, perubahan kegunaan bangunan dan aktiviti semasa di kawasan itu. 

Beliau berkata, oleh kerana perubahan aktiviti utama kedua-dua kampung baru itu daripada pertanian kepada perindustrian, kadar taksiran yang sebelum ini antara satu hingga dua peratus di bawah kadar pertanian diubah kepada kadar kategori perindustrian pada kadar tujuh hingga 7.5 peratus.

Mengenai "Karnival Sayangi Selangor", Mohd Zin berkata tempat letak kereta secara percuma disediakan kepada orang ramai sepanjang karnival selama empat hari itu bermula 29 Disember.

Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang masuk secara percuma ke Muzium Seni Helah atau Trick Art Museum yang ditempatkan di I-City sepanjang karnival itu berlangsung.

Katanya, pameran kerjaya membabitkan badan korporat dan swasta akan diadakan semasa karnival itu yang menawarkan sehingga 6,000 peluang pekerjaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment