My Add

Thursday 20 December 2012

Branson bertugas pramugari AirAsia selepas kalah pertaruhan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Jutawan Britain, Richard Branson akhirnya akan memakai skirt merah dan menjadi pramugari di syarikat tambang murah, AirAsia, Mei depan selepas kalah dalam pertaruhan Grand Prix dengan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Branson yang juga pemilik syarikat penerbangan Kumpulan Virgin dan Tony Fernandes bersetuju pada 2010 bahawa sekiranya mana-mana pasukan (Virgin ketika itu dan Lotus) yang menamatkan saingan pada kedudukan lebih bawah pada musim itu akan menjadi pramugari untuk syarikat penerbangan masing-masing.

Branson kalah dalam pertaruhan itu apabila Lotus menamatkan perlumbaan Formula 1 keseluruhan pada tangga ke-10 manakala Virgin sekadar berpuas hati di tangga ke-12.

Bagaimanapun, pertaruhan yang dirancang dilaksanakan pada awal 2011 ditangguhkan selepas Branson mengalami kecederaan ketika bermain ski.

“Beliau (Branson) akan menjadi pramugari AirAsia pada Mei depan. Walaupun lewat dua tahun tapi yang penting beliau tidak melupakan janjinya,” kata Fernandes dalam laman Twitter miliknya.

Sebelum ini, Fernandes berkata, Branson akan memakai seragam pramugari AirAsia bagi menjual kopi, teh atau makanan dan minuman lain kepada tetamu sepanjang penerbangan khas selama 13 jam dari Kuala Lumpur ke London.

Tiket untuk penerbangan berkenaan akan dilelong kepada tabung kebajikan. - AFP

No comments:

Post a Comment