My Add

Monday 10 December 2012

Cadang MCA tanding di Kepong

KUALA LUMPUR, AHAD, 09 Disember, 2012: UMNO Bahagian Kepong meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan cadangan untuk meletakkan calon MCA di kawasan Parlimen Kepong pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Datuk Rizuan Abd. Hamid berkata, permintaan itu memandangkan pihaknya mendapati parti komponen Barisan Nasional (BN) tersebut mendapat sokongan padu masyarakat khususnya kaum Cina yang merupakan majoriti.

"Parti Gerakan yang sebelum ini bertanding di Kepong mungkin boleh ditukarkan ke kawasan lain seperti Bukit Bintang atau Cheras dan memberi laluan kepada calon MCA.

"Kami usulkan perkara ini bukan omong kosong tetapi berasas dan berpendapat MCA berpotensi. Kami sendiri mendapati MCA menerima sokongan kuat masyarakat Cina di Kepong, malah disokong lebih 180 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Cina yang ada di sini," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasrat tersebut dibangkitkan bukan bererti Gerakan diabaikan sebaliknya demi memastikan kemenangan BN.

"Bagaimanapun UMNO dan BN Kepong tetap menyokong sesiapa sahaja calon yang akan dipilih Perdana Menteri untuk bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum akan datang.

"Kami hanya menyuarakan pendapat sahaja kerana telah melakukan kajian mengenai sokongan penduduk setempat," katanya.

Mengulas lanjut, Rizuan memberitahu, berdasarkan kajian dilakukan, sejak 2008, sokongan kaum Melayu di Kepong terhadap UMNO dan BN ketika ini sekitar 85 peratus.

"Di Kepong terdapat lebih 3,000 penduduk Melayu dan hasil kajian kami mendapati 85 peratus daripadanya menyatakan sokongan terhadap UMNO dan BN.

"Jelas sekali sokongan penduduk Melayu juga semakin meningkat berbanding sebelum ini. Begitu juga sokongan kaum lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment