My Add

Friday 21 December 2012

Caruman sukarela dihadkan RM60,000 setahun mulai Januari 2013

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Semua caruman sukarela termasuk caruman di bawah Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dihadkan kepada RM60,000 setahun bermula 1 Januari depan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, hari ini berkata mereka yang boleh mencarum dalam kategori itu adalah pekerja bebas, artis, ejen pemasaran pelbagai tingkat (MLM), ejen insurans, penjaja, pemandu teksi dan suri rumah.

Beliau berkata, caruman sebanyak RM60,000 setahun itu serta kesan pengkompaunan dividen dalam jangka panjang adalah mencukupi bagi menyediakan jaminan asas kewangan persaraan ahli KWSP.

"Sebagai dana simpanan persaraan, objektif KWSP adalah untuk menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan ahli," katanya dalam kenyataan di sini.

Nik Affendi berkata, caruman itu diperkenalkan sebagai inisiatif untuk memastikan golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan bulanan tetap mempunyai perancangan simpanan untuk persaraan.

Pencarum sukarela boleh mencarum serendah RM50 sebulan sehingga maksimum RM60,000 setahun yang boleh dibayar secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A (1) bagi Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang boleh didapati di cawangan KWSP terdekat atau boleh dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di cawangan KWSP berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 atau layari laman web myEPF.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment