My Add

Wednesday 12 December 2012

Catat pelaburan RM105.14b
\
Oleh HASHNAN ABDULLAH dan THOMAS CHONG

 *NAJIB Tun Razak bersama Abdul Ghani Othman (kiri barisan depan) dan
Ahli-ahli Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA)
menunjukkan buku 'Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon' di
Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, SELASA, 11 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Iskandar Malaysia telah berjaya mencatatkan pelaburan sebanyak RM105.14 bilion dalam pelbagai sektor dengan 42 peratus daripadanya telah direalisasikan.

Perdana Menteri berkata, bagi tempoh 11 bulan tahun ini, Iskandar Malaysia juga berjaya mencatatkan pelaburan sebanyak RM20.36 bilion dengan sektor teras telah melonjakkan pertumbuhan itu, terutamanya dalam bidang hartanah, pembuatan dan utiliti.

''Sejak 2006, Iskandar Malaysia telah mencatat pelaburan sebanyak RM105.14 bilion dan 154,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

''Daripada RM105.14 bilion itu, RM67.69 bilion iaitu 64 peratus adalah pelaburan domestik manakala 36 peratus lagi (RM37.45 bilion) adalah pelaburan asing," katanya dalam kenyataan yang diedarkan selepas mesyuarat Ahli-ahli Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), di sini hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama Najib dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengemaskini pelbagai perkara berkaitan pembangunan Iskandar Malaysia termasuk prestasi dan pencapaian terkini koridor tersebut.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa gembira terhadap prestasi koridor tersebut terutama selepas menyaksikan projek pemangkin dalam sektor pelancongan dapat direalisasikan tahun ini seperti Legoland Malaysia dan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour.

''Termasuk juga kejayaan EduCity dan paling memberi keterujaan adalah dalam sektor runcit KSL, Medini Lifestyle Mall dan Galleria @ Kota Raya yang menambah lagi kepada kerancakan ekonomi domestik.

''Saya juga berbangga melalui IRDA, Iskandar Malaysia telah mengambil kedudukan yang kukuh dalam pembangunan hijau dan lestari," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, pertumbuhan pelaburan di koridor tersebut telah menjana peningkatan dalam aktiviti ekonomi dan juga permintaan pekerjaan di Johor.

Selain itu, beliau turut berbangga dengan kejayaan program Keselamatan dan Perlindungan di Iskandar Malaysia berikutan penurunan 24 peratus jenayah jalanan dan 10 peratus dalam indeks jenayah pada tahun ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment