My Add

Sunday 16 December 2012

DAP mahu luaskan pengaruh, pendekatan cauvinis: Muhyiddin

PORT DICKSON, SHSD, 16 Disember, 2012: Tindakan DAP yang mahu menambah bilangan kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya umum akan datang menunjukkan sikap angkuh mereka untuk mengepalai pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan tersebut
juga dilihat sebagai usaha parti itu untuk meluaskan pengaruh dan pendekatan cauvinis yang hanya tertumpu ke arah kepentingan satu kaum saja.

"Hasil daripada keputusan dalam pemilihan (Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP
yang majoriti dimenangi anggota dari kaum Cina) semalam, kalau itu (DAP
dapat menambah kerusi) berlaku, mungkin kesannya tidak baik bagi kita dan bagi
masyarakat.

"Ini kerana mereka akan memperluaskan pengaruh dan pendekatan yang cauvinis
dan tidak memberi penilaian lebih kepada masyarakat Melayu," katanya selepas merasmikan Perbarisan Perdana sempena tamat kursus latihan asas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2012, di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu tambahan 13 kerusi bagi parti itu iaitu tiga bagi kawasan Parlimen dan 10 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13, kononnya atas dasar semangat setiakawan dan tulus kepada sekutunya PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam ucapan dasarnya bertajuk "Perubahan Di tangan Mu" pada kongres ke-16
DAP di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang semalam, Lim juga berkata, PAS dan PKR diharap dapat mengiktiraf semangat dan kesetiaan yang ditunjukkan DAP dengan membenarkan parti itu bertanding lebih banyak kerusi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pendekatan cauvinis yang
cuba dibawa DAP dilihat tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum.

Beliau juga tidak pasti sama ada PAS dan PKR bersedia untuk bertolak ansur
dengan membernarkan DAP bertanding di lebih kawasan dengan kerusi-kerusi yang sudah sedia terbahagi sejak pilihan raya yang lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan kerjasama antara ATM dan PDRM menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang mana kemudahan dan prasarana latihan dikongsi bersama bagi merekrut anggota keselamatan, telah menunjukkan kesan positif dan pencapaian yang diiktiraf.

Katanya, ia termasuk pengurangan kadar jenayah jalanan dan jenayah indeks
sebanyak 39.79 peratus dan 11.1 peratus selain Malaysia diiktiraf dalam laporan
Global Peace Indeks 2012 sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dan
ketiga di Asia Pasifik selepas New Zealand dan Jepun.

Katanya, pendekatan kerjasama antara dua agensi keselamatan itu akandijadikan teras sebelum pendekatan sama mungkin diperluaskan kepada agensi lain dalam kerajaan.

Terdahulu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata, adalah menjadi kelaziman sebagai anggota keselamatan untuk berhadapan pelbagai bentuk ujian, sama ada secara fizikal mahupun habuan kewangan dan kebendaan.

"Sebenarnya, mengelak daripada gejala rasuah ini bergantung kepada nilai yang dilatih dan dipegang oleh kita. Dan kerajaan cukup yakin latihan yang telah dilalui yang merangkumi pengukuhan integriti dan nilai etika kerja cemerlang akan terus diaplikasi dalam tugasan harian," katanya.

Pada majlis itu, seramai 2,027 perajurit muda ATM dan 1,000 pelatih Konstabel
PDRM telah menamatkan latihan dengan jayanya selepas enam bulan menjalani
latihan yang menguji kekuatan fizikal dan mental.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Besar
Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment