My Add

Friday 7 December 2012

Darurat bencana di Koh Samui, Koh Phangan

BANGKOK, KHAMIS, 06 Disember, 2012: Darurat bencana diisytihar di Koh Samui dan Koh Phangan apabila bekalan elektrik yang terputus di kedua-dua pulau peranginan itu memasuki hari ketiga.

Gabenor Surathani Chatpong Chatphuti mengumumkan demikian ketika Provincial Electricity Authority masih berusaha memperbetulkan masalah akibat litar pintas pada sistem kabel tenaga dasar laut 115,000 volt di Pulau Koh Samui, pembekal tenaga utama bagi kedua-dua pulau itu.

Pengumuman itu dibuat untuk memudahkan pihak berkuasa menguruskan keadaan dan menerima belanjawan segera.

Beribu-ribu pelancong meninggalkan kedua-dua pulau itu sejak Selasa pagi apabila masalah itu berlaku.

Hospital kerajaan di kedua-dua pulau beroperasi seperti biasa kerana dilengkapi janakuasa yang menyediakan bekalan elektrik 24 jam, kata Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Narong Sahamethapat.

Terdapat kira-kira 100 pesakit dalam wad di Hospital Koh Samui yang turut menerima sekitar 450 pesakit luar setiap hari manakala di Hospital Koh Phangan pula ada 17 pesakit dalam wad dan 150 pesakit luar.

"Bagaimanapun, kami telahpun menyediakan bahan api yang mencukupi jika masalah itu berterusan selama beberapa hari lagi," katanya.

Kedua-dua pulau itu kini bergantung kepada bekalan tenaga sokongan dari sistem kabel dasar laut 33,000 volt yang dicatu secara bergilir-gilir setiap dua jam.

Pulau peranginan terkenal itu menggunakan kira-kira 90 megawatt elektrik setiap hari. - Agensi

No comments:

Post a Comment