My Add

Monday 10 December 2012

Demi jamin masa depan

Oleh KAMIL MASLIH dan KASTHURI JEEVENDRAN
 *NAJIB Tun Abdul Razak berjabat tangan dengan G. Palanivel sambil diperhatikan oleh beberapa perwakilan dan pimpinan Ahli Majlis Tertinggi MIC selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-66 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

KUALA LUMPUR, AHAD, 09 Disember, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru masyarakat India terus memberi keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menjamin masa depan yang lebih baik kepada kaum berkenaan serta seluruh rakyat Malaysia.

Jelas beliau, kerajaan BN tidak pernah berjanji kosong malah tiada pihak yang dapat menafikan sumbangan begitu banyak kerajaan BN dalam membela kepentingan masyarakat India yang juga ‘deposit tetap’ kepada BN dalam 11 pilihan raya umum di negara ini.

Katanya, walaupun sokongan masyarakat India merosot pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008, beliau sedar perkara itu adalah kerana keinginan kaum berkenaan melihat BN berubah menjadi lebih peka kepada hasrat dan aspirasi masyarakat kaum India.

“Kalau sekiranya mereka (kaum India) selama ini merupakan deposit tetap BN, dan kalau selama ini kita tidak membayar kaedah faedah yang tinggi atau kadar faedah kita tidak cukup bagus, maka, sejak empat tahun ini, kerajaan BN telah membayar kaedah faedah yang lebih tinggi.

“Sebab itu rata-rata saya pergi di seluruh negara, saya mendapat sokongan masyarakat India sebab mereka sudah membina keyakinan atau ‘nambikei’ bahawa masa depan mereka akan lebih terbela di bawah kerajaan BN," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-66 di PWTC, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MIC, Senator Datuk Seri G. Palanivel, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Najib, banyak bantuan telah disalurkan kerajaan BN kepada masyarakat India termasuk peruntukan RM540 juta kepada sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) sejak 2009, tambahan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), tambahan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta peruntukan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, beliau juga telah mengarahkan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar untuk mencari jalan membantu masyarakat kaum India dan di bawah arahannya juga, 500 tempat di dalam politeknik diberikan kepada kaum berkenaan.

“Sekarang ini adalah berdasarkan merit dan bukannya kuota, sebab itu peratusan kaum India (dalam institusi pengajian tinggi awam) menurun, kita jangan berputus asa, sebab itu saya bagi 1,500 tempat dalam matrikulasi untuk membantu masyarakat India" katanya.

Menurut Najib, kerajaan juga akan mempertimbangkan peruntukan tambahan kepada Kolej Tafe serta memperbanyakan pendidikan prasekolah di SJKT di seluruh negara.

Ujarnya, beliau menyedari sumbangan begitu besar masyarakat India kepada negara termasuk menjadikan Malaysia menjadi antara pengeluar utama getah di dunia serta membantu membina infrastruktur jalan raya dan landasan keretapi.

Beliau memberitahu, MIC telah menjadi rakan setia kepada BN sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan lagi dan beliau berharap sokongan akan diberikan kepada calon yang telah dipilih oleh parti demi memastikan kemenangan besar BN.

“Kita mesti yakin dan percaya bahawa kerajaan BN akan melakukan lebih lagi untuk semua rakyat Malaysia, saya beri jaminan bahawa kita akan kerja sekuat-kuatnya, bagi kita, nambikei kita akan berjuang habis-habisan agar Malaysia akan menjadi negara maju tahun 2020," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment