My Add

Sunday 16 December 2012

Devamany sedia berhenti  jika 300,000 India terbukti tiada dokumen sah

GEORGETOWN, AHAD, 16 Disember, 2012: Naib Presiden MIC, Datuk SK Devamany sedia meletak jawatan jika pakatan pembangkang dapat membuktikan dakwaan 300,000 masyarakat India di negara ini tiada dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, pakatan pembangkang sengaja bermain dengan angka yang tidak
wujud serta fakta palsu bagi mengelirukan rakyat dan menyemarakkan rasa benci mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya minta mereka (pakatan pembangkang) bawa semua 300,000 orang yang
dimaksudkan, disokong dengan dokumen sebagai bukti dakwaan. Jika semua itu ada, saya sedia letak jawatan," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Majlis Kelab Belia Tamil Malaysia ke-45 di sini, hari ini.

Devamany turut menyifatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran sebagai terdesak kerana menganjur protes jalanan berhubung perkara itu
di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Rabu lalu. 

Beliau berkata, jika pakatan pembangkang ikhlas membantu, isu itu sepatutnya
dibawa ke saluran yang betul dan dibincang bersama pemimpin MIC untuk
diselesaikan secara muafakat.

Devamany, yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, turut membidas
kenyataan Surendran baru-baru ini bahawa 70 peratus masyarakat India berada di
bawah paras kemiskinan dengan pendapatan isi rumah purata RM700 sebulan.

Beliau melihat kenyataan itu satu tuduhan liar bermotif politik bagi meraih
sokongan rakyat.

"Ia bermakna 1.4 juta masyarakat India di negara ini berada di bawah paras
kemiskinan. Saya minta pemimpin pembangkang cakaplah perkara yang benar. Kita berpolitik bukan kerana hendak menang sahaja tetapi mahu membangunkan rakyat," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, kerajaan BN sentiasa
membela kepentingan kaum India dengan melaksana pelbagai program transformasi bagi membantu melonjakkan pencapaian kaum tersebut di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment