My Add

Saturday 22 December 2012

Dorong generasi muda minat aliran sains

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Langkah kerajaan melaksanakan 15 daripada 61 perakuan yang dikemukakan Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/ Teknikal:Sastera diyakini dapat mendorong lebih ramai generasi muda untuk meminati dan mengambil aliran itu.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, perkembangan itu juga mampu mengubah tanggapan ibu bapa terhadap aliran sains dan corak pembelajaran yang diguna pakai.

"Antara faktor kemerosotan bilangan pelajar aliran sains ialah berikutan tiada dorongan daripada ibu bapa serta isu tenaga pengajar dan makmal yang tidak lengkap.

"Bagaimanapun dengan insentif yang diberikan ini, saya yakin dapat mendorong lebih banyak penyertaan pelajar dalam bidang itu sekali gus membolehkan Malaysia melahirkan cendekiawan sains yang terkemuka di mata dunia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan melaksanakan 15 daripada 61 perakuan yang dikemukakan Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera bagi meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang sains.

Antara perakuan yang akan dilaksanakan ialah termasuk penambahan pengecualian cukai kepada ibu bapa; penambahan bilangan waktu mengajar untuk semua matapelajaran sains tulen dan 40 peratus murid lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan disalurkan ke aliran sains secara automatik.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru-Guru Besar Malaysia, Ruslan Madon berkata, pelaksanaan 15 perakuan itu sekali gus dapat memastikan murid-murid belajar dalam keadaan kondusif berikutan hasrat kerajaan untuk membaik pulih dan menaik taraf makmal sedia ada di sekolah rendah dan menengah.

"Ini merupakan usaha positif dalam memastikan kejayaan hala tuju pendidikan sains dan teknologi (S&T) kerana saya melihat kaedah pembelajaran akan menjadi lebih menyeronokkan," katanya.

Sejajar usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang sains, Ruslan turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan makmal matematik di setiap sekolah di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment