My Add

Tuesday 4 December 2012

Dr. Mahathir: Tolak budaya ganas

KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 Disember, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru rakyat Malaysia agar menolak budaya ganas dan mengekalkan keamanan yang dikecapi negara selama ini.

Tegas beliau, seluruh rakyat patut bersyukur kerana negara bukan sahaja bebas daripada bencana alam semula jadi, malah dapat mengekalkan keharmonian walaupun masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Negara kita cukup bertuah dan harus kekalkan cara ini. Memang kita boleh berbeza pendapat dari segi politik tapi tidaklah perlu sampai bergaduh dan bertumbuk. Kita boleh bawa berbincang dan berdebat di Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Yang Dipertua Dewan Negara dan meraikan Ahli-ahli Dewan Negara yang tamat tempoh.

Tiga Ahli Dewan Negara yang diraikan itu ialah Senator Datuk Maijol Mahap, Senator Dr. S. Ramakrishnan dan Senator Dr. Syed Husin Ali.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut Dr. Mahathir, beliau berharap pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi dapat dijalankan dengan aman tanpa sebarang huru-hara.

Jelas beliau, kejayaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum mengekalkan keamanan adalah kerana semuanya berkongsi kuasa, ekonomi dan budaya.

"Tiada satu pun kaum yang dapat menuntut 100 peratus hak mereka. Semua kaum kena berkorban tidak kira Melayu, Cina, India serta (kaum di) Sabah dan Sarawak," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment