My Add

Tuesday 11 December 2012

Dr. Mahathir perlu dalam WIEF

JOHOR BAHRU, ISNIN, 10 Disember, 2012: Pengaruh serta peranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad amat diperlukan dalam Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) sekiranya Malaysia mahu menjadi kuasa utama dalam ekonomi negara-negara Islam.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, masyarakat dunia mengetahui bahawa Dr. Mahathir merupakan pemimpin yang disegani di rantau Asia Barat dan pengaruhnya amat besar dalam memastikan kemasukan pelabur asing khususnya di Iskandar Malaysia.

"WIEF merupakan medium terbaik untuk melihat perkembangan ekonomi dan penyatuan umat Islam, tetapi selepas lapan kali penganjurannya tiada satu penyelesaian konkrit dapat dilihat kerana dunia memandang sepi apa yang diputuskan dalam forum itu sedangkan ekonomi masyarakat Islam masih jauh ketinggalan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nur Jazlan berkata, Dr. Mahathir mempunyai jaringan yang luas dengan para pelabur di Asia Barat dan itu sangat diperlukan bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat dalam forum berkenaan dapat dilaksanakan.

"Bagaimanapun, Iskandar Malaysia tidak boleh bergantung kepada sumber pelaburan dari Asia Barat sahaja tetapi perlu menggunakan sumber pelaburan lain dari rantau ini khususnya Singapura.

"Seharusnya, WIEF boleh mendapat manfaat dengan pelaburan Singapura ke Iskandar Malaysia, negara Islam boleh melihat bagaimana cara untuk maju dalam konteks dunia pada masa kini," katanya.

Beliau berkata, pada waktu ini, semua negara perlu belajar untuk saling melengkapi dan bukan hanya bersaing kerana perubahan ekonomi yang berlaku pada waktu ini begitu mendadak.

Satu ketika dahulu, katanya, Amerika Syarikat (AS) merupakan kuasa besar dalam bidang ekonomi tetapi kini dikuasai China dan negara-negara Islam perlu belajar kaedah terbaik untuk memperkembangkan ekonomi mereka demi memastikan dunia terus menghormati mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment