My Add

Friday 14 December 2012

ECER sudah tarik pelaburan RM37 bilion - Najib

PUTRAJAYA, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik pelaburan RM37 bilion antara 2007 dan bulan lepas.

Katanya pelaburan itu telah mewujudkan hampir 30,000 peluang pekerjaan.

Pelaburan keseluruhannya termasuk RM12 bilion yang sudah dikomit bagi tahun ini, yang melepasi sasaran awal pelaburan RM10 bilion bagi tahun ini, katanya.

Daripada jumlah pelaburan yang sudah dikomit, 27 peratus adalah bagi sektor pelancongan, 37.5 peratus di dalam sektor logistik, 16.8 peratus di dalam sektor pembuatan, 10.4 peratus di dalam sektor hartanah dan 8.3 peratus di dalam sektor pertanian.

Terengganu menerima pelaburan tertinggi sebanyak RM18.7 bilion, diikuti oleh Pahang (RM11.1 bilion), Kelantan (RM5.6 bilion) dan Mersing di Johor (RM1.6 bilion), katanya. Beliau juga Menteri Kewangan.

Najib berkata, sehingga ini, kerajaan telah memperuntukkan RM2.6 bilion bagi melaksanakan 80 projek dan program berimpak tinggi di ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK-9) dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK-10) (Pelan Pelaksanaan 1, 2 dan 3).

Katanya projek itu terdiri daripada projek infrastruktur seperti pembinaan dan menaikkan taraf jalan raya dan loji rawatan air di wilayah itu, yang merangkumi Pahang, Kelantan, Terengganu dan Daerah Mersing di Johor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment