My Add

Monday 3 December 2012

Elak krisis kewangan kejayaan besar negara - PM

PUTRAJAYA, ISNIN,  03 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan antara kejayaan paling besar dicapai negara sepanjang tahun ini ialah berjaya melindungi negara dan rakyat daripada krisis kewangan dunia.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu bukan sesuatu yang kecil pencapaiannya kerana banyak negara lain di dunia berada dalam keadaan tidak menentu dan ekonomi yang merudum, namun Malaysia sebaliknya berjaya mencapai kadar pertumbuhan sederhana tinggi.

"Bukan itu sahaja, banyak pengiktirafan di peringkat antarabangasa telah diperoleh...kerana dalam keadaan dunia menghadapi faktor luaran yang begitu mencengkam, kita telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang membanggakan.

"Di samping itu proses pembangunan negara, pembelaan rakyat, sosioekonomi dan agenda transformasi negara berjalan dengan licin dan berkesan," katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

"Kesimpulannya, itulah kejayaan besar yang boleh sama-sama kita merasa bangga kerana kejayaan itu bukan kejayaan saya seorang sahaja, tetapi kejayaan kita secara kolektif," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para pegawai kerana telah membantu kerajaan untuk mencapai kejayaan yang diiktiraf dunia dan berharap agar momentum tersebut akan berterusan.

Pada masa sama, beliau berharap apa yang berlaku di Palestin dapat dijadikan pengajaran dan iktibar kerana menurut Najib jika keamanan dan kestabilan negara tidak dipelihara dengan baik, negara mungkin kehilangan segala-galanya.

"Kita bukan sahaja tidak dapat melakukan sebarang kemajuan, pembangunan dan pembaharuan, malah apa yang telah dikecapi dan dibina selama ini mungkin akan pupus.

"Membina kekuatan untuk menghadapi musuh yang diketahui atau tidak, juga diperlukan, kegagalan berbuat demikian mungkin menyebabkan negara dan rakyat menjadi mangsa kepada musuh yang tidak senang pada kita atau mempunyai cita-cita untuk menakluki ataupun menguasai kita," katanya yang turut melancarkan Tabung Tangisan Gaza peringkat JPM.

Selain itu, Perdana Menteri berkata dalam percaturan politik antarabangsa pengaruh sesebuah negara itu bergantung kepada tanggapan negara lain terhadap kejayaan negara tersebut.

"Jika inginkan profil yang lebih tinggi, dihormati serta disegani oleh negara lain, perlu menunjukkan dan memaparkan bahawa Malaysia sebuah negara yang berjaya dan semakin berjaya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment