My Add

Tuesday 11 December 2012

Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang empat rumah terbakar

PENDANG, ISNIN, 10 Disember, 2012:: Enam sekeluarga termasuk tiga warga emas yang menghuni di empat rumah dalam kawasan sebuah pondok pengajian Islam di Kampung Pokok Asam dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu dipercayai berpunca daripada letupan tong gas dari sebuah rumah sebelum merebak ke rumah berhampiran yang terletak di sebelah kiri dan kanan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni tiada di rumah ketika kejadian.

Saksi kejadian Wan Dayah Wan Taib, 83, yang tinggal bersebelahan tempat kejadian berkata, dia sedang berbual dengan seorang rakan apabila melihat api menerusi tingkap sebuah daripada rumah terbabit.

Katanya, selepas itu dia terdengar bunyi letupan kuat dipercayai letupan tong gas sebelum melihat orang ramai datang ke tempat kejadian membawa air membantu memadamkan kebakaran.

"Makcik tak boleh jalan... orang ramai selamatkan mak cik dan letak di tempat selamat. Syukur makcik dan kawan-kawan lain selamat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian dekat sini, hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, kira-kira 50 penduduk membantu memadam kebakaran menggunakan pelbagai kaedah bagi mengelak api melarat ke rumah berhampiran yang terletak kira-kira lima meter dari tempat kejadian.

Seorang pemilik rumah, Mohd Tarmizi Mohd Ishak, 40, berkata ketika itu dia tiada di rumah kerana menyelesaikan urusan di luar dan isterinya Normawati Azizan, 36, serta empat anak berusia dua hingga 14 tahun berada di rumah mertua di Padang Durian dekat sini.

Katanya, selepas mengetahui kejadian itu menerusi panggilan telefon daripada jiran, dia bergegas pulang dan mendapati kira-kira hampir keseluruhan rumahnya musnah dijilat api.

Mohd Tarmizi yang bekerja sendiri mengalami kerugian kira-kira RM10,000 termasuk wang tunai RM2,000 yang disimpan di dalam rumahnya. Dia bersyukur kerana tidak ada sesiapa yang mengalami kecederaan walaupun semua harta bendanya musnah.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kota Setar, Mohd Ridzuan Mohd Nut Jamudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.

Seramai 24 anggota dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja dan Jalan Tun Razak di Alor Setar serta dari Guar Chempedak dikerahkan bagi memadamkan kebakaran yang dikawal dalam tempoh 30 minit.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment