My Add

Tuesday 11 December 2012

Enjin Petronas diguna bagi kereta PROTON

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 Disember, 2012: PROTON Holdings Bhd sudah mengambil alih kesemua teknologi dan pengetahuan enjin yang dibangunkan oleh Petronas sejak 1997 melalui cabang pengkomersilisasian teknologinya, Petronas Technology Ventures Sdn Bhd, pada harga RM63 juta.

Pengerusi PROTON, Datuk Seri Khamil Jamil berkata, pengeluar kereta negara itu akan memiliki enjin 2.0L yang menggunakan kuasa turbo yang lebih berkuasa tetapi cekap bahan api serta versi berkuasa turbo 2.2L bagi melengkapi enjin Campro sedia ada.

"Proton dan Petronas mengambil daya usaha penerokaan teknologi enjin pada 1996. Jadi, kini tiba masanya untuk mengambil alih dari Petronas, selepas syarikat itu memutuskan untuk menarik diri sepenuhnya dari aktiviti pembangunan enjin pada 2010."

"Proton Holdings, melalui Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, mengambil alih tujuh teknologi enjin yang mempunyai 117 paten teknologi dari Petronas," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian
Pengambilalihan Aset dan Teknologi itu di sini hari ini.

Pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Penasihat Petronas dan PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khamil berkata, PROTON menjangka pengeluaran besar-besaran enjin baharu itu akan bermula pada suku ketiga tahun depan, dengan memberi keutamaan kepada kereta Proton.
"Kami sudah melaksanakan pengujian dengan Proton Exora dan Preve. Kereta Proton akan diberi keutamaan," katanya.

Katanya, PROTON akan bersedia menjalin usaha sama dengan mana-mana syarikat kereta atau pengeluar peralatan asli (OEM) selepas ia mencatatkan kejayaan sebagai pengeluar enjin.

Kereta "sport" di bawah jenama Proton, Lotus, juga sedang dipertimbangkan untuk dipasang enjin baharu itu yang menggunakan teknologi dan kepakaran Petronas.

"Proton kini mempunyai enjin Campro, yang akan kami terus tambah baik."

"Melalui perjanjian ini, kami telah mempunyai enjin jenis baharu yang mesra alam sekitar sambil menyediakan penyelesaian mudah," kata Khamil, sambil menyatakan bahawa pelanggan Proton akan mempunyai pilihan yang lebih baik pada masa depan.

Khamil berkata, PROTON akan menepati kesemua komitmen atau persetujuan yang dilaksanakan oleh Petronas sebelum pengambilalihan itu.

Petronas, melalui Petronas Technology Ventures, sebelum ini telah menjalin perjanjian dengan syarikat berpangkalan di China, bagi memulakan pengeluaran besar-besaran enjin pada suku ketiga 2013.

Sementara itu, bersama-sama dengan teknologi itu, PROTON juga telah mengambil alih satu kemudahan dan peralatan teknologi dari Petronas di Bangi.

"Dua warga kerja Petronas Menyertai kami. Perbincangan sedang diadakan dengan Petronas bagi mendapatkan baki 60 orang warga kerja berkenaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment