My Add

Tuesday 11 December 2012

Gerakan cari pegawai dikhuatiri lemas di empangan tak jejas bekalan air 

GERAKAN mencari dan menyelamat dianggotai penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat, mencari Jacob Issac Fletcher, 19, seorang pegawai teknikal Pesta Perahu Naga 2012, yang dipercayai lemas selepas berenang di pelantar pelepasan kejohanan di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
*GERAKAN mencari dan menyelamat dianggotai penyelam Polis Diraja Malaysia *(PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat, mencari Jacob Issac Fletcher, 19, seorang pegawai teknikal Pesta Perahu Naga 2012, yang dipercayai lemas selepas berenang di pelantar pelepasan kejohanan di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN, ISNIN, 10 Disember, 2012:: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menghentikan sementara pengambilan air mentah dari Empangan Teluk Bahang untuk dirawat di Loji Rawatan Air Batu Ferringhi sehingga operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang dikhuatiri lemas di empangan itu selesai.

Pengurus besarnya, Jaseni Maidinsa, berkata sehubungan itu, PBAPP akan membekalkan air yang diambil dari kawasan tadahan air Batu Ferringhi dan dirawat di Loji Rawatan Air Batu Ferringhi.

Katanya, apabila kejadian itu berlaku, arahan dikeluarkan kepada petugas pengeluaran perbadanan itu supaya menghentikan pengambilan air dari Empangan Teluk Bahang.

"Sekarang, kami mengambil air dari kawasan tadahan Batu Ferringhi untuk membekalkan air ke wilayah utara, khususnya dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang...untuk sementara, sehinggalah perkara ini selesai...sehingga mereka menjumpai mangsa berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, seorang pembantu teknik Pertandingan Lumba Perahu Naga Pulau Pinang dikhuatiri lemas ketika berenang di Empangan Teluk Bahang dekat sini.

Jacob Issac Fletcher, 19, dikatakan terjun dari pelantar permulaan perlumbaan itu pada kira-kira jam 1 tengah hari semalam dan berenang untuk seketika sebelum hilang di empangan sedalam 46.4 meter itu.

Operasi mencari dan menyelamat sedang diadakan.
Jaseni berkata, PBAPP akan memantau kualiti air dan memberi jaminan kepada pengguna bahawa bekalan air untuk kawasan utara Pulau Pinang, dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, tidak terjejas.

Katanya, kualiti air terawat dipantau sepanjang masa untuk memastikannya mematuhi Garis Panduan Air Minuman Kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Kami hanya membekal air yang selamat dan boleh diminum kepada pelanggan kami di Pulau Pinang," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri tempat kejadian untuk memastikan gerakan mencari dan menyelamat berjalan lancar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment