My Add

Tuesday 25 December 2012

Gobalakrishnan mahu terus pertahan kerusi Parlimen Padang Serai
PADANG SERAI, ISNIN, 24 Disember, 2012: Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakhrisnan mahu terus mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Gobalakrishnan berkata, meskipun timbul spekulasi yang mengatakan beliau hilang kelayakan selepas didenda mahkamah, perkara itu belum muktamad kerana masih di peringkat rayuan.

"Saya akan tetap bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Saya percaya penyokong masih bersama saya," katanya selepas majlis sambutan Krismas dan penyampaian bantuan anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Perpaduan Masyarakat Malaysia (Perkemas) di Lunas malam tadi.

Gobalakrishnan berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus beliau tidak berminat untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Padang Serai ekoran keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya.

Ahli Parlimen Bebas itu berkata, spekulasi sedemikian sengaja dimainkan oleh sesetengah pihak terutama musuh politiknya bagi melemahkan semangat.

Ditanya tentang parti yang akan diwakilinya, Gobalakhrisnan berkata, beliau belum memutuskannya

Dalam perkembangan lain, bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya melakukan transformasi politik menerusi pengenalan gagasan 1Malaysia.

"Banyak dasar yang dibawa beliau kini diterima baik malah saya yakin beliau akan terus dapat mandat besar daripada rakyat dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Pada 27 Julai lalu, Gobalakhrisnan didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Butterworth atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam, tiga tahun lalu.

Majistret Mohd. Azhar Hamzah memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh.

Mengikut peruntukan Perkara 48 Perlembagaan Malaysia, seseorang calon yang disabitkan suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat ampun, boleh menyebabkan calon itu hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment