My Add

Monday 10 December 2012

Harussani dianugerah Bintang Perkasa Negara

KUALA LUMPUR, AHAD, 09 Disember, 2012: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dianugerahkan Bintang Perkasa Negara iaitu anugerah tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Sabtu ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, penganugerahan itu diberi berikutan sumbangan besar Harussani dalam menegakkan syiar Islam serta menjaga kepentingan agama dan orang Melayu selama ini.

Katanya, penganugerahan itu merupakan yang keempat daripada Perkasa, selepas anugerah sama diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dan Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub.

"Penganugerahan ini diberikan sempena Persidangan dan Perhimpunan Agung Perkasa Ketiga pada 15 Disember ini.

"Sebelum ini Dr. Mahathir diberikan atas jasa besar kepada negara, Rahim selaku tokoh keselamatan negara, Arshad sebagai tokoh ekonomi dan pendidikan dan kali ini, Harussani selaku tokoh dan sumbangan terhadap Islam," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu, seramai 1,400 perwakilan Perkasa dari seluruh negara akan menghadiri Persidangan Agung Perkasa dengan tema 'Hapuskan Petualang Negara Demi Kesejahteraan Rakyat dan Negara'.

Katanya, persidangan itu akan diadakan bermula pukul 2 petang di Kelab Sultan Sulaiman dan di sebelah pagi hari sama, satu perhimpunan akan berlangsung di Padang Astaka Titiwangsa di sini.

"Saya menjangkakan di antara 5,000 ke 10,000 ahli Perkasa dari seluruh negara akan hadir pada perhimpunan itu memandangkan ahli Perkasa kini berjumlah 350,000 orang dari 115 daerah di seluruh negara.

"Dalam persidangan di sebelah petang itu pula, Perkasa akan membentangkan 10 perisytiharan berkaitan usul berkisar kepada hal perpaduan umat Melayu Islam dan bumiputera, akidah dan isu murtad, pendidikan serta ekonomi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment