My Add

Thursday 13 December 2012

Isu hak asasi manusia tidak harus dimasukkan dalam ITR

DUBAI, RABU, 12 Disember, 2012: Malaysia berpandangan isu hak asasi manusia tidak harus dimasukkan dalam draf Peraturan Telekomunikasi Antarabangsa (ITR) yang mengikat negara anggota Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dalam pelbagai aspek telekomunikasi.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, Persidangan Telekomunikasi Antarabangsa Sedunia (WCIT) 2012 perlu menimbangkan bahawa hanya 28 daripada 193 negara anggota ITU yang telah menyatakan sokongan mereka untuk memasukkan isu hak asasi manusia dalam draf tersebut.

Berucap pada sesi pleno WCIT di Pusat Dagangan Dunia Dubai di sini hari ini, beliau berkata, WCIT dilihat bukan platform yang betul dan masa yang tepat untuk membincangkan mengenai hak asasi manusia dalam ITR.

“Persidangan dilihat sebagai menyalahgunakan proses ini untuk memasukkan bahasa (hak asasi manusia) ini dan pada masa yang sama melaksanakan peraturan ini.

Negara anggota perlu mengambil kira kewajipan antarabangsa mereka berhubung dengan hak asasi manusia sejagat.

“Perkataan ini, seperti yang anda tahu, adalah amat penting, dan kita tidak diberikan ruang atau peluang untuk menyatakan kes demi kes, kenapa, dalam mukadimah, isu ini (hak asasi manusia) tidak harus dimasukkan. Kami ingin menyatakan perkara ini dengan jelas," katanya.

Rais berada di Dubai sejak Selasa untuk mengambil bahagian dalam WCIT 2012 anjuran ITU yang bertujuan menyemak ITR sedia ada yang bertindak sebagai perjanjian global khusus untuk mempermudahkan saling hubungan antarabangsa dan operasi perkhidmatan maklumat dan komunikasi.

Sebagai agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menumpukan kepada komunikasi dan teknologi maklumat, ITU menghimpunkan anggota sektor kerajaan dan swasta pada forum bagi mencapai permuafakatan mengenai hala tuju ICT.

ITR merangkumi perjanjian global yang dirumuskan untuk mempermudah hubungan antarabangsa bagi telekomunikasi serta menyediakan prinsip garis panduan untuk memastikan aliran bebas maklumat di seluruh dunia.

Semua negara yang menghadiri persidangan ini sudah menjadi anggota PBB dan tertakluk kepada deklarasi hak asasi manusia sejagat.

Selepas Rais membentangkan hujahnya itu, beberapa lagi negara turut melahirkan pendapat serupa, menyatakan persoalan hak asasi manusia tidak harus dimasukkan dalam ITR, kerana perjanjian itu sepatutnya hanya menumpukan pada aspek teknikal telekomunikasi.

Antara negara yang dilihat menyokong hujahan itu ialah negara tuan rumah Emiriyah Arab Bersatu, Iran, Arab Saudi, China dan Algeria.

Difahamkan langkah untuk menyemak semula ITR bermula dua tahun lepas dan Persidangan WCIT 2012 selama 10 hari bermula 3 Disember merupakan usaha oleh semua pihak yang terlibat untuk menyaksikan kejayaannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment