My Add

Wednesday 12 December 2012

ITU perlu berani nyata pendirian

 *RAIS Yatim memberi ucapan semasa hadir dalam majlis makan malam bersama
sebahagian rakyat Malaysia di Dubai, semalam. - BERNAMA

DUBAI, SELASA, 11 Disember, 2012: Malaysia berpendapat Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) perlu terus berani mengemukakan pandangan lebih tegas mengenai perkara berkaitan soal integriti, keselamatan jaringan serta spam dan tidak hanya mengehadkan perbincangan kepada aspek teknikal dalam telekomunikasi semata-mata.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, selagi badan dunia itu tidak berani mengemukakan pandangan yang boleh melindungi hak asasi ahlinya, selagi itu peranannya akan dilihat amat terhad.

Beliau berkata, soal seperti gejala spam misalnya, jika ia tidak dapat diketengahkan dan ditangani dalam persidangan antarabangsa seperti Persidangan Telekomunikasi Antarabangsa Sedunia 2012 (WCIT), ia merugikan banyak pihak.

"Kita bukan nak kacau atau masukkan sesuatu yang tidak wajar dalam dunia IT, yang kita maksudkan ialah supaya talian atau jaringan kita bebas daripada sebarang gangguan yang boleh merosakkan perkhidmatan," katanya kepada pemberita Malaysia selepas diwawancara oleh media ITU, di sini hari ini.

Menurutnya, apabila seseorang itu melanggan dengan syarikat telekomunikasi untuk melayari internet, orang itu mempunyai hak untuk bebas gejala seperti spam.

Sebagai agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang merujuk khusus kepada isu-isu berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), ITU yang membabitkan keanggotaan hampir 200 negara di samping pemain industri, menyediakan pentas untuk forum dan perbincangan antara pihak berkepentingan ke arah mencapai persetujuan dalam isu-isu yang berkaitan hala tuju industri ICT.

WCIT 2012 anjuran ITU yang akan berakhir Jumaat ini pula menampilkan perbincangan, perbahasan serta semakan semula Peraturan-peraturan Telekomunikasi Antarabangsa (ITR) yang merupakan perjanjian global yang diguna pakai khusus bagi memudahkan saling hubungan antarabangsa dalam isu-isu berkaitan telekomunikasi di samping menggariskan prinsip bagi memastikan pengaliran maklumat bebas sepenuhnya di seluruh dunia.

Sementara itu, merujuk kepada wawancara oleh media ITU hari ini, Rais berkata, beliau diberi kesempatan menerangkan kepada badan antarabangsa itu mengenai kemajuan Malaysia dalam aspek IT.

Katanya, beliau turut menyampaikan maklumat yang Malaysia menyediakan akses internet lebih luas kepada pengguna termasuk di luar bandar di samping berusaha menjamin perkhidmatan mantap dan dalam kemampuan buat seluruh masyarakat.

"... diharapkan berita-berita sebegini akan membawa satu pulangan yang baik bagi kita," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment