My Add

Tuesday 18 December 2012

Jadi pemain global - Najib

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 
 *NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian perwakilan Pertubuhan
 Peladang Kebangsaan (Nafas) pada Majlis Makan Malam Tahunan dan perasmian
Mesyuarat Agung Perwakilan Nafas Ke-39 di Kuala Lumpur, malam tadi. Turut
 kelihatan, Noh Omar (kiri).

KUALA LUMPUR, ISNIN, 17 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa golongan petani, peladang, penternak dan nelayan supaya berfikiran global dan turut serta dalam jaringan pembekal global untuk memasarkan produk pertanian masing-masing.

Menurut Perdana Menteri, mereka juga perlu menerapkan unsur-unsur inovasi dan pemodenan dalam pertanian supaya tidak dilihat masih berada di takuk lama.

"Dulu hanya 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai. Tetapi di zaman moden ini, petani-petani perlu jadi pelaku-pelaku dalam jaringan pembekal global. Dengan itu pertanian akan menjadi lebih maju.

"Kemajuan dalam bidang pertanian akan membuatkan golongan muda tertarik untuk menceburi bidang ini. Hal demikian penting kerana kita perlu membentuk pelapis untuk meneruskan kelangsungan pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Tahunan dan Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Ke-39 di sini malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Terdahulu dalam majlis sama, Najib melancarkan Dana Peladang Kebangsaan (DPK) yang turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman kerjasama pengurusan latihan dan amali antara Nafas dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bagi tahun kewangan berakhir 2011, keseluruhan pergerakan pertubuhan peladang seluruh negara mencatat keuntungan sebanyak RM349.85 juta manakala keuntungan Nafas selepas cukai ialah RM184.4 juta.

Najib berkata, krisis bekalan makanan dunia telah mengalami peningkatan yang mendadak dan membimbangkan serta kenaikan harga minyak turut mempengaruhi harga bekalan makanan.

"Oleh yang demikian, bagi memenuhi keperluan makanan negara, kita tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada sumber makanan yang diimport dari negara-negara luar. Dasar-dasar yang jelas serta tindakan yang proaktif perlu diambil bagi memastikan kecukupan dan keselamatan bekalan makanan negara.

"Atas tuntutan itu, kerajaan telah memperluaskan fokus sektor pertanian di dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Dasar Agromakanan Negara (DAN) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh," ujarnya.

Tambahnya, 10 teras strategik telah disusun yang merangkumi peningkatan pengeluaran dan produktiviti, penglibatan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan serta pengukuhan bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan inovasi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment