My Add

Sunday 23 December 2012

Jangan salah guna nama 1Malaysia

Oleh ZAAIN ZIN

KUCHING, SABTU, 22 Disember, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama 1Malaysia untuk melariskan produk jualan atau skim pelaburan masing-masing.

Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, penggunaan nama tersebut untuk tujuan komersial atau perdagangan perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri.

Kata beliau, sekiranya ada pihak yang didapati menggunakan nama tersebut tanpa kebenaran, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana melanggar akta berkaitan hak cipta.

"Untuk makluman, anda perlu mendapatkan kebenaran menggunakan 1Malaysia pada produk kerana ia merupakan hak cipta Jabatan Perdana Menteri. Jadi nama itu tidak boleh digunakan sebarangan.

"Penyelewengan nama itu dalam kegiatan jenayah telah dikesan seperti penipuan pelaburan beras di sini baru-baru ini untuk mendapatkan kepercayaan rakyat dan kita khuatir akan menjejaskan reputasi jenama 1Malaysia sekiranya tidak dibendung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis bersama pemimpin masyarakat yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ahmad Dahuri Mahmud di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rohani berkata, selain produk dari Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Coop 1Malaysia, program penyeragaman harga barangan di kawasan luar bandar akan turut melibatkan produk keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bermula tahun depan.

"Menerusi program ini, kerajaan akan menanggung kos penghantaran produk untuk membawa lebih banyak barang keperluan ke kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya.

Mengenai prestasi dua KR1M terawal di Sarawak yang dibuka sejak Julai lalu, Rohani memberitahu, produk 1Malaysia di premis berkenaan mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat apabila pernah mencatat jualan harian sebanyak RM40,000.

"Setakat ini belum ada rungutan negatif mengenai produk KR1M, sebaliknya yang menjadi masalah kita sekarang ialah barangan di kedai tersebut cepat habis.

"Untuk mengatasinya, kita merancang mendapatkan lebih banyak bekalan termasuk menggalakkan para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan menyertai program ini sebagai pembekal," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment