Janji khidmat guaman percuma kepada pelabur emas: Khairun
KUALA LUMPUR, SELASA, 04 Disember, 2012: Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO berjanji menyalurkan bantuan khidmat guaman percuma kepada lebih 8,000 pelabur emas yang menjadi mangsa syarikat urus niaga emas terutamanya syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd.
Pengerusinya, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, beliau berharap mangsa yang tertipu tampil membuat aduan supaya kes berkenaan dapat diselesaikan segera.
"Bagaimanapun, tempoh penyelesaian kes itu bergantung kepada prosiding dan undang-undang mahkamah serta Bank Negara," katanya kepada pemberita di pekarangan Bank Negara di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO menerima 2,100 aduan daripada pelabur mengenai aset mereka yang dibekukan oleh Bank Negara selepas beberapa syarikat urus niaga emas itu diserbu pihak berkuasa.
Pada 1 Oktober lalu, pasukan polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat-syarikat Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuat serbuan ke atas Genneva dan sekutunya kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.
Tiga syarikat lain, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd, turut diserbu.
Semua syarikat ini disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan seperti mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan gambaran yang salah termasuk deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen. - BH
No comments:
Post a Comment