My Add

Tuesday 4 December 2012

Jawatan Pengarah Kejurulatihan BAM mungkin dipecah

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 Disember, 2012: Jawatan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin dipecah dan dibahagikan kepada beberapa orang, sekiranya persatuan itu gagal mendapatkan calon yang sesuai.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, Pelan B itu akan dilaksanakan sekiranya perlu dengan menggunakan kepakaran barisan jurulatih sedia ada.

BAM sebelum ini menawarkan jawatan terbabit kepada ketua jurulatih Jepun Park Joo-bong, bagaimana bekas pakar beregu Korea Selatan itu menolaknya di saat-saat akhir.

Ng berkata, BAM akan menggabungkan beberapa jurulatih yang mempunyai kemahiran berbeza untuk melengkapkan tugas seorang pengarah kejurulatihan.

"Sukar untuk mencari seseorang seperti Park Joo-bong yang mempunyai semua kemahiran untuk menjadi pengarah kejurulatihan.

"Setakat ini kita masih mencari namun belum dapat mengenal pasti mana-mana calon yang sesuai. Jika keadaan mendesak kita masih ada Pelan B," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan Pentadbiran Badan-badan Sukan Kebangsaan 2013 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyampaikan geran berjumlah RM1.5 juta kepada 42 persatuan sukan kebangsaan.
Ng berkata, buat masa ini BAM mempunyai 25 orang jurulatih di peringkat pusat dan jika mereka memilih untuk melaksanakan Pelan B, pihaknya perlu menambah seorang atau dua jurulatih lagi.

"Mungkin juga kita akan lantik pengurus projek yang berbeza untuk ketiga-tiga projek Olimpik, iaitu 2016, 2020 dan 2024.

"Apa pun perkara ini akan kita bincangkan dalam mesyuarat C&T (Coaching and Training) tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu Ng berkata, pihaknya bercadang untuk menggunakan geran bantuan RM50,000 yang diterima BAM untuk melantik seorang setiausaha pentadbiran dan dua orang jurulatih tetap di setiap negeri.

"Melalui geran ini banyak program khususnya di peringkat akar umbi dapat dikembangkan lagi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment