My Add

Wednesday 5 December 2012

Jenain mohon maaf kepada keluarga Aminulrasyid

SHAH ALAM, RABU, 05 Disember, 2012: Walaupun Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan beliau daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas, Koperal Jenain Subi tetap merendah diri memohon maaf kepada keluarga remaja lelaki itu.

"Saya minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid atas apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Jenain yang ditemani peguam belanya, M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi berkata keputusan mahkamah juga telah membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

"Alhamdulillah... semua ini kuasa Tuhan dan selama ini saya berserah kepadaNya. Hari ini telah terbukti siapa salah dan siapa tidak salah dan akhirnya saya mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya yang tidak dapat menahan tangisan.

Terdahulu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan membebaskan Jenain daripada tuduhan selepas menerima rayuan anggota polis itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lepas.

Sejurus hakim membacakan keputusannya, Jenain yang memakai kemeja dan berkopiah putih mengalirkan air mata dan tersenyum. Isteri serta seorang anak perempuannya yang berada di galeri awam turut menangis kegembiraan.

Beliau yang pernah bertugas sebagai polis mahkamah turut menerima ucapan tahniah daripada beberapa anggota polis yang hadir memberikan sokongan moral.  - UTUSAN

No comments:

Post a Comment